Anda di sini

Lelaki mengaku seludup lima migran Indonesia dipenjara dua tahun 

Advertisement
Steven (kanan) dan Gerald (kiri) bercakap dengan Rehaman (duduk) selesai dijatuhi hukum pagi hari ini.
Steven (kanan) dan Gerald (kiri) bercakap dengan Rehaman (duduk) selesai dijatuhi hukum pagi hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah membawa lima migran Indonesia yang diseludup di ICQS Biawak, Lundu pada April 2023.

Rehaman Enaj Maheran, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Leonard David Shim sebaik didakwa mengikut pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Rehaman didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 5.45 pagi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak, Kampung Biawak pada 18 April 2023. 

Fakta kes mendedahkan sepasukan penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melaksanakan Ops Serkap memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda di jalan raya luar pagar berdekatan pintu keluar/masuk ICQS tersebut. 

Mereka kemudian mendapati Rehaman sebagai pemandu kenderaan berkenaan membawa lima migran disyaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 26 tahun. 

Pasukan penguat kuasa seterusnya melakukant semakan di JIM dan mendapati dua daripada warga Indonesia tersebut mempunyai rekod lama keluar masuk ke Malaysia.

Sementara tiada rekod baharu membabitkan kemasukan ke Malaysia bagi tiga lagi pendatang yang diseludup oleh Rehaman. 

Susulan itu, pasukan penguat kuasa menahan Rehaman dan lima migran tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, seorang daripada migran yang diseludup itu dilaporkan telah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan telah dijatuhi hukuman setimpal akibat tinggal lebih masa di Malaysia. 

Manakala empat daripada mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke Malaysia tanpa dokumen sah dan telah dijatuhi hukuman sewajarnya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kong Siew Chuo sementara Rehaman diwakili peguam Steven Beti dan Gerald Empaling Donald.

  • oleh
  • Advertisement