Anda di sini

Hukuman mati lelaki bunuh isteri dan anak diganti penjara 40 tahun

Advertisement
 

KUCHING: Jacob Tiang Lee Yee terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 40 tahun kerana membunuh isteri dan dua anaknya di rumah mereka di kawasan perumahan Pulau Li Hua di Sibu pada 5 Julai 2013.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah dalam keputusan sebulat suara mengetepikan hukuman Jacob yang sebelum ini disabitkan dengan hukuman gantung sampai mati.

Keputusan itu diambil selepas mahkamah menerima permohonan Jacob menerusi peguam lantikan mahkamah, Lau Le Bin yang dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengenakan sebarang sebatan terhadap Jacob berikutan usianya sudah menjangkau lebih 50 tahun.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara dikuat kuasa dari tarikh Jacob ditangkap iaitu pada 5 Julai 2013.

Terdahulu pada 17 Disember 2014, Jacob disabitkan di Mahkamah Tinggi Sibu atas tiga pertuduhan, masing-masing dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Dia didapati bersalah bersalah membunuh isterinya Ling Yung Ming, 40, anak perempuannya Christine Tiang Soon Ai, 14, dan anak lelakinya Victor Tiang Soon Sheng, 2, antara jam 6.20 pagi dan 9.50 pagi, pada 5 Julai 2013.  

Difahamkan, kejadian berlaku susulan Jacob diselubungi banyak hutang dan diancam oleh pemberi pinjaman wang, lalu dia nekad membunuh seluruh ahli keluarganya.

Pada 16 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan telah mendengar rayuan dan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

Jacob kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 19 Julai 2018, namun sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi tetap dikekalkan.

Sehubungan itu, Jacob telah memfailkan Notis Usul bertarikh 19 September 2023 kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 3(1) Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dan memohon semakan semula hukuman mati dihadapinya agar ditukar kepada tempoh penjara.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa.

  • oleh
  • Advertisement