Anda di sini

Dua pekerja hotel nafi curi telur, beras dan minyak milik majikan

Advertisement
 

MIRI: Dua pekerja hotel masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencuri telur, beras dan minyak masak kepunyaan majikan tempat mereka bekerja.

Mohamad Syahrizal Yunus, 22, dari Piasau Utara dan Clarence Mika Junis, 25, dari Jalan Permaisuri 2B, Bandar Baru Permyjaya di sini, didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, Mohamad didakwa mencuri beberapa papan telur, beras dan minyak masak kepunyaan hotel tempat kerjanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.22 malam, 26 April lalu di sebuah hotel yang terletak di Blok 7 Jalan Sehati di sini.

Sementara itu, Clarence didakwa melakukan kesalahan serupa pada jam 9.48 malam, 5 Mei lalu di hotel yang sama.

Pertuduhan dibacakan secara berasingan kepada kedua-dua tertuduh.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan kedua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah.

Majistret Randu Rangen membenarkan permohonan itu dan menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diperintahkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

  • oleh
  • Advertisement