MIRI: Padah membantu melupuskan sebuah telefon bimbit curi, dua buruh masing-masing didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Randu Rangen setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.
Petrick Ragol Serini, 20, dari Tudan dan Dowling Masanat @ Meramat, 30, dari Kampung Api-Api, Lutong di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh didapati dengan sengaja telah membantu melupuskan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenis Vivo Y17S kepunyaan Serini Sinja.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 12.15 tengah malam, 10 Mei lalu di sebuah lot di Tudan Fasa 6 di sini.
Di hadapan mahkamah, kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai buruh merayu hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertama mereka.
Pendakwaan kes dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.