Anda di sini

SME Corp. Malaysia salur RM3 juta bimbing usahawan belia Sabah

Advertisement
 Ewon disambut meriah ketika tiba di majlis itu.
KETIBAAN: Ewon disambut meriah ketika tiba di majlis itu.


PENAMPANG: Sebanyak 200 usahawan belia Bumiputera Sabah telah berjaya dilatih tahun ini melalui bantuan geran berjumlah RM3 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE). 

Program yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini, bertujuan menggalakkan belia Bumiputera berumur antara 18 sehingga 30 tahun menceburi bidang perniagaan.

Majlis Penutupan Program TUBE-X Zon Sabah telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick di sini, hari ini.

Program berbentuk latihan asas keusahawanan yang telah dijenamakan sebagai TUBE-X bersempena dengan tahun ke-10 penganjurannya ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) selama tujuh hari bermula pada 6 Mei yang lalu.

Program yang juga dilaksanakan di empat zon lain iaitu Zon Utara, Pantai Timur, Tengah/Selatan dan Sarawak ini menyediakan Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000.00 kepada setiap peserta yang berjaya menamatkan latihan.

Menurut  Ewon, pada tahun ini, selepas tiga tahun pelaksanaan Program TUBE secara dalam talian akibat pandemik COVID-19, program itu kembali diadakan secara bersemuka atau fizikal agar tempoh pengajaran dan latihan keusahawanan dapat dimaksimakan dan secara tidak langsung mewujudkan jaringan sesama peserta. 

Sehingga Disember 2023, seramai 7,738 peserta TUBE telah mengambil bahagian dan peserta dari Sabah merupakan yang tertinggi menyertai program TUBE iaitu seramai 1,444 (18.66 peratus). 

Peserta Alumni TUBE Sabah juga telah berjaya mewujudkan sebanyak 2,039 peluang pekerjaan di Sabah dengan nilai jualan perniagaan terkumpul sebanyak RM20.65 juta.

Dalam pada itu, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Dompok berkata, daya kreativiti dan inovasi adalah penting dalam memastikan kejayaan seorang usahawan. 

Justeru katanya, hasil daripada pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada Program TUBE-X diharapkan dapat membantu usahawan belia Bumiputera meningkatkan daya kreativiti, ketahanan dan seterusnya melakukan inovasi dalam perniagaan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan PMKS di
Malaysia, tumpuan akan turut diberikan dalam membangunkan usahawan belia Bumiputera sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang lebih saksama dan inklusif. 

"Kami komited dalam memantau perkembangan setiap peserta TUBE-X yang tamat latihan dan memulakan perniagaan yang merupakan antara komponen utama dalam membimbing usahawan ke tahap yang lebih baik," katanya.

Majlis Rasmi Penutupan Program TUBE-X 2024 dijadualkan untuk diadakan bersempena penutupan Zon Tengah/Selatan pada 11 Jun 2024 di Kuala Lumpur.

Secara keseluruhan, jumlah peserta belia Bumiputera yang berjaya dilatih di seluruh negara pada 2024 adalah seramai 800 orang.

Dalam majlis yang sama, Ewon turut menyampaikan replika cek kepada wakil peserta TUBE-X sebagai simbolik kepada penamatan sesi latihan Program TUBE-X serta menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

MoU dengan UMS ini merintis jalan bagi kerjasama melaksanakan inisiatif kemampanan untuk PMKS di Sabah yang merangkumi pembinaan kapasiti dan promosi amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), membangunkan ekosistem kredit karbon di Sabah serta menjalankan aktiviti berkaitan pembangunan modal insan dan penyelidikan.
 

Advertisement