Anda di sini

PERNAS peruntuk RM4 juta untuk industri francais Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk memperkukuhkan lagi industri francais di Sarawak.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, kementerian itu berkata peruntukan itu dibuat di bawah program BizFrancais dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MySED), yang mana negeri itu merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah program untuk tahun ini.

"PERNAS telah membiayai lebih RM10 juta kepada usahawan Sarawak, yang mana lebih daripada 15 jenama francais dan pra-francais tempatan telah dibangunkan dengan bantuan PERNAS sejak 2004," katanya.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan sempena majlis perasmian Program BizFrancais Sarawak 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat semalam.

Turut hadir di majlis itu adalah Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor KUSKOP, Chek Zainuddin Chek Jusoh; Timbalan Setiausaha Tetap MySED, Dolhadi Marzuki serta Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan dan Komuniti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Nikk Adam Abdillah Kipalli.

Dalam ucapannya di majlis itu, Dr Ripin berkata program tersebut merupakan inisiatif berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkasakan keusahawanan francais selaras dengan matlamat kementerian itu untuk melahirkan usahawan belia unggul menjelang 2030.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Francais PERNAS, Mazlan İbrahim berkata siri jelajah Program BizFrancais ini turut bermatlamat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan sambil mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang francais.

PERNAS menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah program BizFrancais pada tahun ini yang turut melibatkan negeri-negeri Pulau Pinang, Pahang dan Sabah. Pada tahun lalu, sebanyak RM25.23 juta telah berjaya disalurkan kepada para usahawan melalui program itu.

Program itu telah diperkenalkan sejak 2019, yang melibatkan sebanyak 20 siri. - BERNAMA

Advertisement