Anda di sini

YBR sediakan dana RM300,000 biayai yuran kursus INSKEN di Sabah dan Sarawak: Ewon

Advertisement
 Ewon ketika berucap pada majlis itu.
UCAPAN: Ewon ketika berucap pada majlis itu.


KUALA PENYU: Yayasan Bank Rakyat (YBR) sediakan dana sebanyak RM300,000 untuk membiayaai yuran usahawan yang menyertai kursus Institut Keusahawanan Negara (KNSKEN) di Sabah dan Sarawak.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia akan memberi manfaat kepada seramai 1,200 usahawan yang ingin mengikuti program keusahawanan anjuran INSKEN, satu daripada agensi di bawah kementerian.


“Terdapat usahawan yang mempunyai pengetahuan terhad untuk membangunkan strategi perniagaan berkesan untuk bersaing di pasaran.


“Oleh itu, pendekatan pembangunan pengetahuan dan kemahiran usahawan diperlukan bagi menghasilkan perniagaan yang mempunyai daya saing kuat dalam pasaran.


“Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan berita baik kepada usahawan dan peniaga kecil bahawa INSKEN dengan kerjasama YBR bakal memberi manfaat berjumlah RM300,000 kepada 1,200 usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.


Ewon berkata, pembiayaan itu akan memberi peluang dan galakan kepada para usahawan di Malaysia Timur untuk menyertai program latihan keusahawanan.


“Yayasan Bank Rakyat akan memberi tajaan sebanyak RM250 bagi setiap peserta yang menyertai program latihan keusahawanan anjuran INSKEN di Sabah dan Sarawak.


“Melalui inisiatif ini, saya berharap agar lebih ramai usahawan informal di Sabah dan Sarawak akan mengambil peluang untuk menimba ilmu keusahawanan bagi memantapkan perniagaan masing-masing,” katanya.


Beliau juga menyeru agar usahawan di negeri ini merebut manfaat yang disediakan KUSKOP dengan mendaftar program latihan INSKEN di laman web www.insken.gov.my.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching, ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury dan Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

  • oleh
  • Advertisement