Anda di sini

RM7 juta disediakan fasa pertama naik taraf 38 Tamu Desa di Sabah

Advertisement
 Ewon (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM7 juta daripada KUSKOP kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLBS) bagi mewakili 16 Pejabat Daerah yang akan melaksanakan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sabah tahun ini.
SAKSIKAN: Ewon (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM7 juta daripada KUSKOP kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLBS) bagi mewakili 16 Pejabat Daerah yang akan melaksanakan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) di Sabah tahun ini.


KUALA PENYU: Sebanyak 38 tapak Tamu Desa telah dikenal pasti di seluruh Sabah untuk dinaik taraf bagi fasa pertama dengan dana sebanyak RM7 juta. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu adalah untuk melaksanakan fasa pertama pelaksanaan Projek Tamu Desa di negeri ini.

“Bagi program ini, Pejabat Daerah akan bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana untuk memastikan pelaksanaan projek mengikut skop kerja yang ditetapkan.

“Pejabat Daerah juga akan melaporkan status pelaksanaan projek ini setiap bulan kepada KUSKOP dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) yang akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching, ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury, Pengerusi TEKUN Nasional Dato' Abdullah Sani Abdul Hamid, ketua-ketua jabatan persekutuan negeri dan ketua-ketua agensi KUSKOP.

Ewon berkata, pasar tamu komuniti atau pasar minggu adalah tempat masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah bertemu.

“Ia mempunyai keunikan tersendiri kerana pelbagai produk tempatan masyarakat Sabah yang dijual oleh para peniaga. Dalam hubungan ini, kementerian akan memulakan Program Pembangunan Premis Tamu Desa bertujuan menaik taraf kemudahan ruang niaga dan pusat penjaja di luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju meluluskan peruntukan bagi tujuan pelaksanaan Program Pembangunan Premis Tamu Desa di Sabah. 

“Program ini akan menyediakan atau menaik taraf ruang niaga dan pusat penjaja dengan infrastruktur yang lebih kondusif bagi memudahkan akses pemasaran produk jualan dengan lebih berkesan di tapak lokasi perniagaan,” katanya.

Ewon turut mengumumkan pelaksanaan projek Tamu Desa akan dimulakan di Kuala Penyu dengan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi menaik taraf dua tapak yang telah dikenal pasti. 

“Saya berharap dengan pelaksanaan projek Tamu Desa di Kuala Penyu ini akan dapat menyediakan kemudahan ruang niaga yang lebih kondusif dan selesa,” katanya.

Advertisement