Anda di sini

Lapan usahawan TEKUN terima anugerah sempena Jelajah TEKUN Madani dan SDSI

Advertisement
 Ewon bergambar bersama ke semua usahawan tekun cemerlang yang menerima anugerah pada majlis itu.
ALBUM: Ewon bergambar bersama ke semua usahawan tekun cemerlang yang menerima anugerah pada majlis itu.


KUALA PENYU: Seramai lapan usahawan cemerlang TEKUN Nasional dari Sabah menerima Anugerah Usahawan Berjaya sempena Karnival Tekun Madani dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI).


Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick sempena karnival itu, di Dewan Masyarakat Datuk Shahbandar Makang, di sini, hari ini.


“Ini adalah satu bentuk pengiktirafan yang diberikan kepada usahawan yang terbukti berjaya mengharungi cabaran perniagaan dalam ketidaktentuan ekonomi semasa. Syabas dan tahniah kepada usahawan TEKUN Nasional yang berjaya.


“Semoga kejayaan yang dicapai akan memberikan inspirasi kepada usahawan lain untuk terus berusaha,” katanya.


Dalam pada itu Ewon berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, TEKUN Nasional telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM24.1 juta kepada 1,468 usahawan di Sabah.


“Daripada jumlah itu RM429,000 disampaikan kepada 41 usahawan dari Parlimen Beaufort,” katanya.


Beliau berkata, sektor ekonomi tidak formal seperti penjaja dan peniaga kecil mempunyai potensi yang signifikan untuk menyumbang kepada ekonomi negara dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

 Ewon menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya kepada salah seorang penerima pada majlis itu.
SAMPAIKAN: Ewon menyampaikan Anugerah Usahawan Berjaya kepada salah seorang penerima pada majlis itu.


“Usahawan informal biasanya tidak mempunyai kecenderungan untuk membesarkan perniagaan melebihi daripada keperluan harian.


“Justeru, kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan pakej rangsangan bagi memastikan mereka dapat meneruskan dan mengembangkan perniagaan. Misalnya, semasa pembentangan Belanjawan 2024, keutamaan diberikan untuk terus menyokong usahawan meningkatkan kapasiti perniagaan serta daya saing melalui penyediaan kemudahan pinjaman kecil kepada usahawan mikro dan peniaga kecil.


Ewon berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membasmi kemiskinan dan Dana Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia berjumlah RM100 juta bagi meningkatkan keupayaan koperasi dalam rantaian bekalan.


“Manakala TEKUN pula diberikan peruntukan sebanyak RM330 juta untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil.


“TEKUN Nasional adalah agensi kerajaan untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada usahawan untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka.


Ewon turut mengumumkan pelaksanaan Skim Pembiayaan Peralatan Perniagaan (S3P) oleh TEKUN Nasional.


“Skim ini adalah untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan dengan bantuan pembiayaan untuk modal perniagaan berserta bantuan pembiayaan pembelian peralatan perniagaan dalam satu pembiayaan.


“Nilai pembiayaan yang diberikan adalah antara RM1,000 hingga RM20,000 dengan kadar keuntungan empat peratus setahun,” katanya.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching, ADUN Kuala Penyu Datuk Limus Jury, Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, ketua-ketua jabatan persekutuan negeri dan ketua-ketua agensi KUSKOP.
 

  • oleh
  • Advertisement