Anda di sini

XIBO capai persetujuan dengan Andrewson

Advertisement
 

KUCHING: XIBO Entertainment akan merakam semula pembikinan lagu ‘Bekikis Bulu Betis’ selepas mencapai persetujuan bersama penyanyi asalnya, Penghulu Andrewson Ngalai Asom.

Perkara itu dimaklumkan XIBO Entertainment menerusi satu kenyataan hari ini, justeru berharap segala soalan dan spekulasi terjawab.

Katanya, XIBO sebelum ini berkomunikasi dengan seorang individu yang telah mendakwa diri mewakili Andrewson Ngalai dan ANP Records selaku penerbit lagu tersebut.

“Individu berkenaan telah memberi kebenaran kepada XIBO untuk merakamkan semula lagu tersebut. 

“Setelah pengesahan bersama Andrewson, beliau menyatakan bahawa beliau tidak tahu justeru tidak meluluskan permohonan pihak XIBO.

“Setelah selesai perbincangan antara XIBO dan Andrewson, kami telah mencapai persetujuan untuk pembikinan semula lagu tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, XIBO turut memohon maaf kepada Andrewson atas segala salah faham mengenai isu kebenaran merakamkan semula lagi ‘Bekikis Bulu Betis' untuk KMJX.

Kata kenyataan itu lagi, XIBO komited untuk membangunkan industri muzik Dayak dan bahasa Sarawak. 

“Kami berterima kasih kepada semua yang telah menyokong projek-projek kami dan berharap kalian akan terus mendukung kami dalam usaha-usaha kami,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi serta pencipta asal lagu 'Biar Bekikis Bulu Betis' Penghulu Andrewson Ngalai Asom berasa terkilan dengan tindakan sebuah syarikat merakamkan serta membuat penggambaran semula lagu dan klip video lagu itu dengan memuat naiknya ke laman sosial.

Menurutnya, syarikat berkenaan tidak pernah meminta kebenaran dan izin daripadanya berhubung perkara tersebut sebelum ini.

Susulan itu beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Stapang, Sibu pada 3 Mei.

Justeru, beliau menuntut syarikat berkenaan memadamkan apa sahaja bentuk rakaman dan rakaman semula lagu tersebut yang disiarkan di dalam media sosial atau berdepan risiko tindakan undang-undang.

Kemudian, XIBO Entertainment dalam ruangan komen video muzik lagu itu di laman YouTube, berkata terdapat 'sedikit salah faham' mengenai perkara tersebut.

“Nampaknya ada salah faham dan XIBO bekerjasama rapat dengan keluarga Ngalai untuk menyelesaikan isu ini. Kami berharap dapat bertemu Andrewson Ngalai secepat mungkin untuk menyelesaikan isu dan salah faham,” menurut XIBO.
 

Advertisement