Anda di sini

Awalkan atau kemudiankan tarikh umum keputusan SPM: STU

Advertisement
KULLIN
KULLIN

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) memohon kepada Kementerian Pendidikan (KPM) agar mempertimbangkan tarikh pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diawalkan atau dilanjutkan ke minggu persekolahan bulan Jun.

Presiden STU Kullin Djayang berkata, pengumuman keputusan SPM pada 27 Mei seperti dinyatakan KPM adalah kurang sesuai kerana tarikh tersebut jatuh pada hari Isnin minggu pertama cuti persekolahan. 

“Bagi kami di sini, tarikh 27 Mei 2024 itu kurang sesuai kerana tarikh tersebut jatuh pada hari Isnin minggu pertama cuti persekolahan. 

“KPM harus sedia maklum bahawa beberapa sekolah menengah terletak di lokasi yang agak jauh ke pedalaman seperti di daerah Kapit, Song, Baram, Limbang dan Marudi,” katanya kepada Utusan Borneo, hari ini.

Kullin berkata, malahan ia juga merupakan cuti perayaan utama bagi suku kaum Dayak di Sarawak dan bagi penduduk di Sabah, Pesta Kaamatan akan bermula lebih awal iaitu pada 30 dan 31 Mei 2024. 

“Oleh yang demikian, kita mahukan tarikh tersebut diawalkan ke 23 Mei 2023 atau dilanjutkan ke minggu persekolahan bulan Jun. 

“Kita mohon maaf kepada KPM atas segala kesulitan ini kerana masa cuti semester tahun ini amat singkat berbanding sebelumnya,” katanya.

Kullin berkata, sebagai sebuah kesatuan guru dari Sarawak, mereka ingin mengemukakan beberapa kekangan dalam berhubung tarikh yang dipilih oleh KPM untuk mengumumkan keputusan SPM teraebut.

Selain itu kata Kullin, kebanyakan guru yang bertugas di sekolah tersebut sudah memulakan perjalanan balik ke kampung masing masing mulai 24 dan 25 Mei 2024, malah mungkin ramai yang sudah membeli tiket kapal terbang atau kenderaan sewa. 

Kesatuan katanya, berasa ia akan memberikan sedikit kesukaran kepada pihak sekolah untuk menguruskan semua slip keputusan SPM dan juga semua sijil pelajar tingkatan lima pada hari tersebut.

“Selain itu juga, kita mohon pihak KPM tidaklah menggunakan masa cuti tersebut kerana ia memang tidak panjang iaitu hanya kira-kira 11 hari sahaja.

“Bagi kaum Dayak di Sarawak biasanya guru akan balik kampung seiisi sekeluarga untuk merayakan Hari Gawai yang jatuh pada 1 Jun 2024. 

“Ada segelintir keluarga akan mengambil masa satu atau dua hari, malah ada yang sampai tiga hari perjalanan balik kerana lokasi sekolah dengan kampung halaman yang jauh,” katanya.

Justeru katanya, pihak STU memohon KPM agar tidak mengganggu masa cuti penggal yang singkat bagi para guru dan pelajar.

Terdahulu, dilaporkan hari ini bahawa keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM dari sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi pada hari berkenaan.
 

Advertisement