Anda di sini

FINAS, MyIPO kerjasama tingkat usaha pendaftaran harta intelek penggiat seni

Advertisement
Azmir ketika hadir di Wisma Bernama untuk program Apa Khabar Malaysia, hari ini. - Gambar BERNAMA
Azmir ketika hadir di Wisma Bernama untuk program Apa Khabar Malaysia, hari ini. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk meningkatkan pendaftaran harta intelek (IP) dalam kalangan penggiat seni tanah air. 

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata langkah itu penting kepada penggiat seni bagi menjana pendapatan berterusan dalam pelbagai kaedah seperti jualan pengedaran dan remix atau rakaman semula karya selain melindungi daripada cetak rompak.

“Apabila kita bercakap soal bisnes, nilai IP sangat penting. Kadang-kadang penerbit hanya melihat filem box office pada tahun pertama dan kedua sahaja, tapi apabila kita ada IP dan hak cipta terhadap karya itu, kita dapat jana wang dalam pelbagai cara. 

“Katakanlah kita ada satu genre filem yang memang disukai ramai pada tahun 80-an, kalau ada orang lain nak buat remix pada filem itu sekarang, kita hanya perlu maklumkan kita mempunyai IP. Tapi asasnya, tetap bergantung kepada karya yang berkualiti, baru penjanaan wang boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Azmir turut memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah MyIPO Kamal Kormin pada minggu lepas untuk membincangkan isu IP dalam industri kreatif dan perfileman, yang akan disusuli beberapa lagi pertemuan bagi memuktamadkan bentuk kerjasama boleh dilaksanakan.

Sementara itu, beliau berkata cadangan penambahbaikan Akta FINAS 1981 (Akta 244) termasuk memasukkan pencipta kandungan bagi filem komersial kini di draf akhir dan dijangka dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini.

“Pada tahun akta itu ditubuhkan definisinya berkaitan arca bergerak sahaja, tapi apa yang kita telah bincangkan dengan peguam FINAS definisi itu akan dikekalkan cuma ada penambahan berkaitan platform digital selari dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya. - BERNAMA

Advertisement