Anda di sini

Inisiatif bantu gerakan, bangunkan daya tahan koperasi

Advertisement
EWON
EWON

KOTA KINABALU: Malaysia memberi penekanan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu gerakan koperasi mengadaptasi perubahan persekitaran untuk membangunkan daya tahan serta kejayaan koperasi di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata demikian dalam kenyataannya ketika mengetuai delegasi Malaysia sempena Persidangan Menteri-Menteri Koperasi peringkat Asia dan Pasifik yang ke-11 bermula 28 hingga 30 April lepas di Jordan.

Katanya, kenyataan itu berdasarkan tema 'Adapting to Changing Environment and Building Resiliency'.

Antara intipati lain yang disampaikan adalah berkenaan dasar dan polisi kerajaan yang mesra koperasi serta sokongan berterusan kepada gerakan koperasi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar semasa seperti Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM 2030), Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021- 2025 (TransKoM 2021-2025) 
dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKop 2030). 

Ewon turut menyeru kerjasama perdagangan koperasi antara negara (Cooperative-to-Cooperative) atau C-2-C berpandukan prinsip keenam koperasi, 'kerjasama antara koperasi' khususnya dalam menangani cabaran isu keterjaminan makanan.

Katanya, usaha itu menekankan kepentingan tindakan kolektif bagi memudahkan proses perdagangan dalam kalangan koperasi-koperasi di rantau Asia Pasifik. 

Pada masa sama jelasnya, deklarasi bersama (joint declaration) Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik disokong dan deklarasi itu turut menyatakan dan mengakui peranan dan sumbangan penting koperasi di rantau Asia Pasifik kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, pengurangan kemiskinan, dan pembangunan sosial yang inklusif.

Ia turut mengakui jati diri koperasi yang unik dan berpusatkan kepada kepentingan anggota dan masyarakat untuk memperkasa individu, komuniti dan kumpulan yang terpinggir.

"Deklarasi ini juga menegaskan komitmen koperasi negara rantau Asia Pasifik terhadap agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 khususnya berkaitan membasmi kemiskinan (SDG 1), kesamarataan gender (SDG 5), pembangunan ekonomi dan pekerjaan yang baik (SDG 8) dan mendepani perubahan iklim (SDG 13).

"Beberapa perkara yang akan dilaksanakan secara bersama antaranya melaksanakan libat urus antara kerajaan dan koperasi untuk memahami matlamat bersama, cabaran, dan peluang untuk kerjasama.

"Selain itu, ia akan mencipta persekitaran yang mesra pembangunan koperasi serta memperkukuh dasar dan polisi yang dapat memacu pertumbuhan gerakan koperasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, deklarasi itu mengambil kira beberapa cadangan yang dikemukakan oleh setiap wakil negara dan dipinda untuk dimeterai secara rasmi selepas persidangan berakhir.

Sempena persidangan itu, Ewon turut mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dan pemimpin koperasi dari Jordan, Fiji, Palestin dan Nepal bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

Ia termasuklah potensi mengembangkan pasaran produk dan perkhidmatan koperasi serantau dan pelaburan melalui gerakan koperasi Malaysia dengan gerakan koperasi rantau Asia Pasifik.
 

Advertisement