Anda di sini

Jangan buat spekulasi, jaga sensitiviti keluarga mangsa: Fadillah 

Advertisement
Suasana hiba melibatkan ahli keluarga mangsa di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, dalam satu insiden helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.-Gambar BERNAMA
Suasana hiba melibatkan ahli keluarga mangsa di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, dalam satu insiden helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.-Gambar BERNAMA

LUMUT: Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berharap tiada sesiapa yang akan membuat sebarang spekulasi terhadap insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata semua pihak juga perlu menghormati waris mangsa dengan tidak memaparkan sebarang video atau gambar yang sensitif bagi menjaga sensitiviti keluarga terlibat dengan kejadian tersebut.

“Apa punca jangan kita buat spekulasi, itu yang saya harapkan, para media dan orang ramai jangan buat spekulasi, biarlah pihak polis dan tentera membuat siasatan dan kita tunggu laporan penuh daripada mereka.

“Memang mereka sedang buat latihan dan sebagainya… Apabila kemalangan, kita terimalah ia sebagai satu kemalangan, kita tunggu hasil siasatan pihak berwajib,” katanya kepada pemberita selepas menziarah keluarga mangsa dan melawat lokasi kejadian di sini hari ini.

Terdahulu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban dalam insiden jam 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.

Sementara itu, Fadillah berkata kehadiran beliau ke Pangkalan TLDM Lumut semalam adalah atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berjumpa dengan anggota khususnya kepimpinan tertinggi TLDM Lumut bagi mengetahui kejadian sebenar yang berlaku semasa latihan itu.

Bagi pihak Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI, Fadillah berkata beliau mengucapkan takziah kepada TLDM dan seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden pagi tadi.

“Dan saya sempat menziarah, berjumpa dengan waris-waris mereka dan persiapan yang dilaksanakan oleh pihak TLDM dalam menyiapkan mangsa-mangsa untuk seterusnya dibawa ke hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun) nanti untuk bedah siasat,” katanya.

 Ahli keluarga terdekat melihat ambulans yang tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, membawa mangsa nahas dalam insiden helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.-Gambar BERNAMA
Ahli keluarga terdekat melihat ambulans yang tiba di Unit Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, membawa mangsa nahas dalam insiden helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.-Gambar BERNAMA

Mengenai kebajikan waris, Fadillah berkata perkara itu akan dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin nanti, selain bantuan daripada kerajaan.

“Biarlah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri nanti umumkan apa sahaja bantuan dan sokongan daripada kerajaan kepada keluarga mangsa.

“Keluarga semua dah ada (di Pangkalan TLDM Lumut) kecuali keluarga dari Sabah sahaja belum sampai, dijangka sampai petang nanti dalam 6.30 petang dan mereka sudah pasti akan dibawa ke Ipoh,” katanya. -- BERNAMA
 

Advertisement