Anda di sini

Ular sawa kekenyangan baham angsa ditangkap

Advertisement
Anggota APM menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap di dalam sangkar selepas membaham seekor angsa hari ini.
Anggota APM menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap di dalam sangkar selepas membaham seekor angsa hari ini.

MIRI: Seekor ular sawa ditemui dalam keadaan kekenyangan selepas membaham seekor angsa di dalam sangkar di kawasan sebuah rumah di Kampung Tudan Fasa 2, di sini, pagi tadi.

Terdahulu, kehadiran ular itu disedari seorang lelaki berusia 26 tahun ketika memeriksa sangkar angsa peliharaannya.

Bimbang atas faktor keselamatan, pengadu terus menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan menangkap ular tersebut. 

Maklumat daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu kira-kira jam 9.54 pagi. 

“Sepasukan empat anggota APM diketuai Sarjan Mejar (PA) Mohammad Izzhar Abdullah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut. 

“Setibanya di lokasi terus berjumpa dengan pengadu dan beliau menyatakan terjumpa seekor ular sawa telah menelan angsa peliharaannya di dalam sangkar,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurut APM, skuad terus meninjau lokasi dinyatakan pengadu dan menjumpai seekor ular sawa batik berada di dalam sangkar angsa bersebelahan rumah pengadu. 

“Skuad berjaya menangkap ular sawa batik sepanjang tiga meter tersebut dengan menggunakan teknik menyepit. 

“Sejurus itu, ular tersebut dilepaskan ke habitat asalnya yang jauh dari penempatan penduduk,” ujarnya. 

Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, operasi ditamatkan pada jam 10.39 pagi. 
 

  • oleh
  • Advertisement