Anda di sini

SAA anjur Konvensyen Autisme Kebangsaan pada 27-28 Julai

Advertisement
Ngu (dua kiri), Tai (kiri), Ting (dua kanan) serta yang lain menunjukkan poster mengenai Konvensyen Autisme Kebangsaan di Sibu, semalam.
Ngu (dua kiri), Tai (kiri), Ting (dua kanan) serta yang lain menunjukkan poster mengenai Konvensyen Autisme Kebangsaan di Sibu, semalam.

SIBU: Persatuan Autisme Sibu (SAA) akan menganjurkan Konvensyen Autisme Kebangsaan pada 27 dan 28 Julai nanti.

Presidennya David Ngu berkata, konvensyen yang bertemakan 'Menguatkan Bakat Autisme Untuk Masa Depan Yang Lebih Cerah' akan diadakan di Hotel RH di sini.

"Tema ini menekankan keperluan memberi tumpuan kepada perancangan masa depan anak-anak autisme.

"Kanak-kanak ini akan dewasa suatu hari nanti. Bagaimana mereka akan meneruskan kehidupan tanpa kita nanti?" ujarnya pada sidang media di sini, semalam.

Ngu berkata, dengan tema itu mereka akan memberi lebih tumpuan kepada masa depan agar golongan itu boleh berdikari.

"Saya percaya mereka ini mempunyai bakat tetapi kita perlu mencari, mengetahui dan mengembangkannya agar mereka dapat meneruskan kehidupan. Itulah yang sedang kami lakukan," tegasnya.

Menurutnya lagi, Konvensyen Kebangsaan Autisme 2023 telah menerima banyak maklum balas positif, khususnya daripada Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) yang menyarankan kami untuk mengadakannya semula. 

"Saya bersyukur kerana kami dapat memenuhi permintaan mereka," ujarnya.

Ngu berkata, sorotan utama untuk konvensyen itu nanti ialah Pameran Galeri Seni dan Gala Makan Malam Amal Seni Autisme.

"Acara ini akan menampilkan Pameran Galeri Seni yang mempamerkan lebih daripada 200 karya seni oleh anak-anak autism serta Gala Makan Malam Amal Seni Autisme pada malam 28 Julai. 

"Dana yang terkumpul akan digunakan untuk projek bangunan baharu, menunjukkan komitmen kami dalam menyokong pertumbuhan komuniti ini," katanya.

Untuk penyertaan dan mengetahui lebih lanjut mengenai acara itu katanya, orang ramai boleh mengimbas kod QR pada poster.

"Bayaran penyertaan awal akan diberi harga yuran promosi iaitu RM100 sahaja tanpa penginapan manakala RM120 termasuk penginapan.

"Saya berharap ramai yang akan menyertai program ini nanti," tambahnya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha Politik Premier Sarawak Joshua Ting dan Pengerusi Olimpik Khas Sarawak Bahagian Sibu Pemanca Datuk Jason Tai.
 

  • oleh
  • Advertisement