Anda di sini

RM9.2 juta bangun infrastruktur, kemudahan Tapak Kaul Oya

Advertisement
Fatimah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Wan Junaidi.
Fatimah (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Wan Junaidi.

DALAT: Kira-kira RM9.2 juta diperlukan untuk rancangan masa depan pembangunan infrastruktur dan kemudahan di Tapak Kaul Oya.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini merangkumi dua projek utama iaitu sambungan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kampung Kuala Hilir dan cadangan pembinaan Anjung Selera Makanan Laut dan Pentas Utama Berbumbung.

"Sambungan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kampung Kuala Hilir ini di bawah RADDA (Agensi Pembangunan Delta Rajang) dan ini adalah langkah yang strategik dalam menangani masalah hakisan pantai di Kampung Kuala Hilir, Oya.

"Komponen utama projek ini termasuk pembinaan struktur Armor Rock Revetment sepanjang 230 meter berserta sambungan walkway sepanjang 300 meter, penyediaan jeti tempat perahu nelayan mendarat dan pemasangan lampu bangku bagi meningkatkan kecerahan kawasan.

"Anggaran kos untuk projek ini ialah sebanyak RM4 juta," katanya pada Majlis Perasmian Pesta Kaul Tahun 2024 di Tapak Kaul Oya, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hadir merasmikan Pesta Kaul Tahun 2024 di Tapak Kaul Oya dan melancarkan Majlis Perasmian Benteng Kawalan Hakisan Pantai di Kampung Kuala Hilir Oya.

Bagi cadangan pembinaan Anjung Selera Makanan Laut dan Pentas Utama Berbumbung yang turut di bawah RADDA, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, projek itu juga dianggarkan menelan kos kira-kira RM4 juta.

"Projek ini bertujuan memperkukuhkan daya tarikan tapak Kaul sebagai destinasi pelancongan utama dengan menawarkan kemudahan makanan laut yang unik serta ruang seni dan kebudayaan yang selesa.

"Anggaran kos untuk projek ini adalah sebanyak RM4 juta manakala kos bagi pembinaan musalla/surau adalah sebanyak RM1.2 juta," katanya.

Sementara itu, mengenai Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kampung Kuala Hilir yang dirasmikan semalam, Fatimah berkata, projek diluluskan oleh Tun Wan Junaidi pada 2016 dengan anggaran awal berjumlah RM19.5 juta tetapi dikurangkan kepada RM14.4 juta apabila Perikatan Nasional mengambil alih.

Menurutnya, benteng sepanjang 1.4 kilometer itu mempunyai dua fungsi utama, iaitu sebagai benteng hakisan dan untuk mengelakkan sampah daripada mendarat di kawasan pesisiran pantai.

"Skop projek ini merangkumi sepanjang 1.4 kilometer, 150 meter jalan konkrit, 6 unit bangku simen dan tangga konkrit," katanya.

Di samping itu, turut dibina adalah sembilan Lebuk Kaul dengan kos sebanyak RM450,000.

Hadir sama ADUN Tellian Royston Valentine, Residen Bahagian Mukah Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Dalat Mohamad Rashdan Hazemi dan yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement