Anda di sini

Seorang lagi dijangkiti penyakit melioidosis

Advertisement
ASITS
ASITS

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan satu kes penyakit melioidosis di Padang Ragbi, Tanjung Aru dikenal pasti pada 11 Mac lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Asits Sanna berkata, kes berkenaan merujuk kepada laporan dalam media sosial Facebook berkenaan Kawalan Persekitaran Bagi Penyakit Berjangkit Melioidosis di Padang Ragbi, Tanjung Aru di sini.

"Sampel tanah telah diambil di lokaliti berkenaan berdasarkan pergerakan kes yang pernah bermain ragbi di padang ragbi itu. Satu sampel didapati positif dengan bakteria Burkholderia pseudomallei iaitu agen penyebab kepada penyakit melioidosis.

"Pesakit telah memberikan sejarah mengalami luka di bahagian kaki semasa bermain ragbi yang mungkin menyebabkan jangkitan kepada beliau.

"Sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-14 tahun 2024, sebanyak 44 kes melioidosis telah didaftarkan di seluruh negeri Sabah. 

"Ini merupakan peningkatan sebanyak 12.8 peratus berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada ME yang sama pada tahun 2023 iaitu sebanyak 39 kes," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, enam daerah tertinggi yang melaporkan kes melioidosis adalah Sandakan (12), Kota Kinabalu (11), Papar (5), Penampang (5) dan masing-masing dua kes di Sipitang serta Keningau.

Katanya, penyakit melioidosis adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei yang terdapat di permukaan air dan tanah. 

"Manusia boleh dijangkiti penyakit ini apabila terdedah secara langsung kepada tanah dan sumber air yang tercemar dengan bakteria itu. Jangkitan sering berlaku terutamanya sewaktu musim hujan. 

"Transmisi jangkitan boleh berlaku melalui saluran pernafasan (debu atau titisan air yang tercemar), terminum air yang tercemar atau melalui luka di kulit.

"Golongan yang berisiko tinggi adalah mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hati, sakit buah pinggang, talasemia, kanser atau lain-lain keadaan daya tahan (imuniti) badan yang rendah," katanya.

Menurutnya, antara gejala yang mungkin dialami adalah seperti demam yang tinggi, sakit sendi, batuk, sakit dada, kudis, bisul, nanah, sakit kepala, tiada selera makan, dan rasa lesu seluruh badan.

Katanya, penyakit itu boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik tertentu. Rawatan awal dengan antibiotik adalah perlu bagi mengelakkan pesakit, terutamanya golongan berisiko tinggi, daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk dan mengelakkan daripada kematian.

"JKNS ingin menasihatkan orang ramai untuk mengelakkan pendedahan kepada tanah dan sumber air yang tercemar terutamanya mereka yang mempunyai luka pada permukaan kulit serta mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit buah pinggang.

"Langkah langkah kawalan lain adalah penggunaan kasut kalis air, sarung tangan dan pelitup muka bagi mereka yang terlibat dengan kerja-kerja yang terdedah kepada sumber tanah dan air tercemar.

"Jika terdapat sebarang luka pada anggota badan, cuci dan balut luka dengan sempurna," katanya.

Menurutnya, segera dapatkan rawatan sekiranya demam atau mengalami gejala selepas terdedah kepada tanah atau air tercemar.

Katanya, JKNS sentiasa memantau kejadian penyakit melioidosis dan mempertingkatkan aktiviti promosi kesihatan kepada masyarakat berkaitan dengan langkah-langkah kawalan dan pencegahan. 
 

  • oleh
  • Advertisement