Anda di sini

DBKK aktifkan dua Op Payung banteras kutu sampah

Advertisement
 Sisa sampah yang ditinggalkan pengunjung di Segama Waterfront
SAMPAH: Sisa sampah yang ditinggalkan pengunjung di Segama Waterfront

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengaktifkan dua Op Payung di Segama Waterfront dan Taman Awam Teluk Likas bagi menguatkuasakan sepenuhnya Undang-undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005 di sini.

DBKK dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dijalankan menerusi Jabatan Penguatkuasaan itu bertujuan mencegah kegiatan masyarakat awam yang meninggalkan sisa sampah dengan tidak bertanggungjawab serta membuang sampah merata-rata tempat. 

“Op Payung juga ditugaskan dalam kawalan terhadap peminta sedekah, kawalan penjaja haram serta satu usaha bersepadu bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam kawalan ketenteraman awam serta kawalan lalu lintas.

“Selain tindakan kompaun, DBKK juga akan mengambil tindakan mahkamah terhadap kutu sampah dan setakat Januari hingga April tahun ini, sejumlah 64 keping kompaun mengikut kesalahan Undang-undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005 dikenakan terhadap orang awam yang membuang sampah merata-rata di Taman Awam Teluk Likas serta 214 keping kompaun dikeluarkan dalam pusat bandar. 

Dalam minggu ini juga, sebanyak lima kompaun mengikut Undang-undang Kecil (Penjaja) 1966 dikeluarkan terhadap penjaja haram di Taman Awam Teluk Likas manakala satu rampasan barangan penjaja haram yang enggan mengikut arahan dibuat di Segama Waterfront,” katanya.

Beliau berkata, hari pertama musim cuti perayaan Aidilfitri baru-baru ini juga menyaksikan jumlah pengunjung yang meningkat di taman-taman awam utama seperti Segama Waterfront dan Taman Awam Teluk Likas. 

“Tindakan segelintir masyarakat awam yang membuang dan meninggalkan sisa sampah secara tidak bertanggungjawab sangat mengecewakan dan memburukkan imej Bandaraya Kota Kinabalu.

“Hasil tinjauan dan perkongsian orang awam melalui gambar dan video sampah sarap yang bertaburan di Segama Waterfront dan Taman Awam Teluk Likas jelas menunjukkan mentaliti segelintir masyarakat awam yang masih menganggap tugas menjaga kebersihan adalah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan atau pihak berwajib semata-mata.

“Sampah sarap yang bersepah di kedua-dua tempat tumpuan pelancong itu memcemar persekitaran dan menimbulkan ketidakselesaan kepada para pengunjung,” katanya.

Katanya, bertindak dengan perkara ini, DBKK melalui Unit Pengutipan dan Unit Penyapuan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) mengambil tindakan pengutipan dan penyapuan di sekitar Segama Waterfront. 

“Sebanyak 200 kilogram jumlah kutipan sisa sampah yang direkodkan manakala tambahan bilangan unit tong-tong sampah dengan saiz 120 liter hingga 240 liter juga dilakukan di Segama Waterfront.

“Kesedaran dalam menjaga kebersihan adalah satu cabaran yang perlu didepani dan satu tanggungjawab yang wajar dipikul bersama. 

“Warga bandar raya Kota Kinabalu wajar memberikan contoh teladan yang terbaik dan menjadi masyarakat yang utamakan kualiti kebersihan persekitaran, jangan jadi “Kutu Sampah”,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement