Anda di sini

Pemilik hotel, resort disaran utamakan keselamatan

Advertisement
 Christina (tengah) merakamkan gambar bersama penerima sijil.
CEMERLANG: Christina (tengah) merakamkan gambar bersama penerima sijil.

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sutera Harbour Resort dengan pencapaian penerimaan anugerah dwi Pensijilan MS ISO untuk standard keselamatan tinggi daripada NIOSHCert.

Christina berkata, pencapaian cemerlang itu patut dicontohi para pengusaha perhotelan dan resort pulau berikutan aspek keselamatan penting kepada pengunjung yang datang ke premis masing-masing.

“Aspek keselamatan amat penting dan saya memuji Sutera Harbour Resort kerana memberi keutamaan yang tinggi kepada keselamatan pelawat dan pelancong serta kakitangannya.

"Saya faham bahawa Pensijilan MS ISO meletakkan standard keselamatan berada paling hadapan bukan sahaja di rantau kita tetapi juga dalam kalangan perintis resort pulau dan hotel di Wilayah Asean," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penyampaian Pensijilan MS ISO: 45001:2018 Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHSMS) dan 21101:2014, Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Pengembaraan (ATSMS) kepada empat hartanah di Sutera Harbour Marina, Golf and Country Club, di sini.

Penerima Sijil ISO daripada Christina bagi pihak setiap hartanah ialah Pengurus Besar Magellan Sutera Resort Adrian De Rozario, Pengurus Besar Hotel Pacific Sutera Gerry D'Cruz, Pengurus Besar Kelab Sutera Harbour Marina, Golf and Country Rick Blackie dan Pengarah Sumber Manusia Sutera@Mantanani Md Al'freedo Md Yahya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sutera Harbour Resort, Gilbert Ee berkata, tahap keselamatan pengunjung dan kakitangannya adalah aspek penting yang perlu diberi keutamaan.

"Di Sutera Harbour, kami melaksanakan tanggungjawab memastikan tetamu bukan sahaja selamat tiba tetapi juga meninggalkan hotel dengan selamat selepas mendapatkan perkhidmatan, kemudahan dan produk kami.

"Pada Mac 2023, kami mengambil langkah menyahut cabaran membangunkan kawalan keselamatan yang lebih ketat dengan mengguna pakai Standard ISO," katanya.

Beliau juga menyifatkan Pensijilan MS ISO sebagai pencapaian monumental untuk resort dan menyatakan bahawa pensijilan berprestij ini menggariskan kewajipan Sutera Harbour Resort bukan sahaja kepada pematuhan keselamatan, tetapi juga mencerminkan komitmen jangka panjang untuk mengekalkan standard keselamatan tinggi di resort berkenaan.

“Sepanjang 10 bulan terakhir pada 2023 dengan lebih 360 jam kerja, kira-kira 57 pekerja, bersama perunding Think Big dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menunjukkan usaha tanpa henti untuk mengenal pasti bidang utama dalam membangunkan proses keselamatan, dokumentasi, audit, latihan dan pematuhan.

“Kita juga berterima kasih kepada menteri dan kementeriannya dengan sokongan berterusan dan dalam usaha mempromosikan Sabah kepada dunia, kami dalam industri Pelancongan dan Hospitaliti memainkan peranan penting dalam mewujudkan keyakinan dan persekitaran yang selamat untuk pelancong,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah Ibrahim Othman, Pengurus Besar NIOSH Amirthasamy Mahalingam dan Ketua Seksyen Pemeriksaan Berkanun (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah (DOSH), Jason Liew.

  • oleh
  • Advertisement