Anda di sini

Rakyat perlu hormati adat resam semua kaum, agama

Advertisement
 (Gambar atas).. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah (lima kiri) bersama rakan Pegawai melawat Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal semasa perayaan Hari Raya di Semporna. (Gambar bawah)... Pegawai Pemerintah ATM Lt Col Mohd Ezrin Daud (tujuh kiri) dan anggota askarnya bersama Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (enam kiri) dan ADUN Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong (enam kanan) semasa perayaan Hari Raya di Semporna.
MERIAH: (Gambar atas).. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah (lima kiri) bersama rakan Pegawai melawat Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal semasa perayaan Hari Raya di Semporna. (Gambar bawah)... Pegawai Pemerintah ATM Lt Col Mohd Ezrin Daud (tujuh kiri) dan anggota askarnya bersama Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (enam kiri) dan ADUN Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong (enam kanan) semasa perayaan Hari Raya di Semporna.

SEMPORNA: Rakyat di negara ini perlu saling menghormati adat resam semua kaum dan agama bagi membina kekuatan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Dr Mohd Shafie Apdal berkata, keunikan Malaysia kerana ia diduduki oleh pelbagai kaum dan agama.

“Setiap rakyat di negara ini bermula dari peringkat akar umbi perlu memahami dan menyemai sikap kekitaan dalam kepelbagaian kaum.

“Perbezaan kaum dan agama adalah kekuatan Malaysia sejak dari dahulu lagi, malah kita berjaya menyatukan semua rakyat tanpa berlakunya sebarang perselisihan yang serius,” katanya.

Beliau yang juga mantan Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini, kelmarin. Hadir sama Naib Presiden WARISAN Datuk Jaujan Sambakong.

Majlis itu telah dihadiri lebih 5,000 orang dalam kalangan pemimpin, ketua jabatan dan penduduk Semporna serta sekitarnya.

Shafie berkata, sebagai pengerusi CPA di peringkat antarabangsa ketika itu, banyak mengajar dan memberikan pengalaman luas dalam aspek penyatuan ummah.

Menurutnya, CPA adalah antara pertubuhan terbesar di peringkat antarabangsa yang diwakili oleh Pengerusi Majlis (Speaker) dan Ahli Parlimen dari negara-negara Komanwel termasuklah United Kingdom (UK).

“Cabaran di peringkat antarabangsa lebih mencabar kerana kita mahu menyatukan negara-negara yang pernah dijajah dan penjajah.

“Ketika ini semua negara perlu saling mengiktiraf walaupun dipisahkan dengan pelbagai lautan dan benua kerana kita mahu mengambil langkah-langkah bagi memupuk keamanan di peringkat dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerjasama semua negara sangat penting kerana ia dapat menentukan keamanan dan kesejahteraan di peringkat global.

“Kita tidak mahu berlaku seperti negara-negara yang bergolak seperti Palestin, Ukraine dan banyak lagi sehingga banyak jiwa yang tidak berdosa terkorban.

“Justeru, ketika itu saya mahu pastikan semua ahli Komanwel yang terlibat menjadi ‘Policy Maker’ terhadap dasar-dasar kerajaan supaya memainkan peranan di negara masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna meminta semua pemimpin dapat memberikan tumpuan membangunkan ekonomi dan pembangunan di negara ini.

“Kalau semua pemimpin memberikan tumpuan aspek pembangunan, mereka akan sibuk dengan hal negara, bukannya melakukan perkara tidak berfaedah sehingga menggugat perpaduan.

“Sekiranya pemimpin tidak bekerja dengan baik, sudah pasti isu seperti 3R (kaum, agama, raja) akan timbul dan saya harap mereka gunakan kebijaksanaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement