Anda di sini

UiTM Cawangan Sarawak menandatangani perjanjian kerjasama dengan universiti China

Advertisement
Mohammad Isa (tengah), Wu (dua kanan), Lin (dua kiri ) dan Wang menunjukkan dokumen perjanjian masing-masing selesai ditandatangani.
Mohammad Isa (tengah), Wu (dua kanan), Lin (dua kiri ) dan Wang menunjukkan dokumen perjanjian masing-masing selesai ditandatangani.

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA  (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Kota Samarahan menandatangani perjanjian kerjasama tidak rasmi dengan Shandong University of Engineering and Vocational Technology China bagi memupuk kolaboratif akademik dan pertukaran teknologi antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan susulan lawatan barisan pegawai-pegawai kanan univerisiti dari China itu diketuai Profesor Wu Mengjun ke UiTM Sarawak Kampus Samarahan hari ini.

Pemangku Rektor UiTM Sarawak Profesor Madya Dr Mohammad Isa Mohamadin dalam ucapannya berkata, pemeteraian perjanjian persefahaman itu  merupakan satu lagi peristiwa penting untuk program antarabangsa UiTM Sarawak di bawah Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa universiti itu.

Menurut beliau lagi, lawatan dan pemeteraian perjanjian dengan Shandong University of Engineering and Vocational Technology membuka ruang dan peluang untuk kerjasama berhasil serta memperkukuhkan lagi ikatan antara Malaysia dan China.

"Kerjasama ini memperlihatkan atau memberitahu tentang pentingnya menyemai budaya pembelajaran bersilang dalam kalangan warga dunia. Di UiTM Sarawak, kita komited memupuk budaya kecemerlangan, memperluaskan kehadiran kita di peringkat global menerusi kolaboratif serta inisiatif dalam pelbagai disiplin," katanya.

Beliau berkata UiTM Sarawak telah menandatangani beberapa perjanjian persefahaman dengan universiti lain di seluruh dunia yang menggambarkan universiti itu amat berdedikasi untuk mewujudkan interaksi dua hala berkesan dan menyemai hubungan kerjasama kekal lamanya.

"Menerusi kerjasama seperti ini, kita berhasrat menyediakan staf dan penuntut dengan peluang-peluang bagi perpindahan teknologi dan perolehan pengetahuan serta kemahiran penting dalam skala global," tambahnya.

Sementara itu, kenyataan akhbar yang diedarkan kepada media semasa majlis itu berkata Profesor Wu Mengjun diiringi Naib Presiden Shandong University of Engineering and Vocational Technology Wang Shouguang dan Pengarah Pejabat Hubungan Luar universiti berkenaan Wang Weijiao. 

Turut menyertai delegasi dari China itu ialah Pengarah Kumpulan China Railway Construction Lin Jialiang dan pegawai kanannya Wu Leilei.

Menurut kenyataan akhbar itu lagi, Shandong University of Engineering and Vocational Technology merupakan institusi pengajian tinggi yang cemerlang dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), pengurusan pembinaan, teknologi maklumat (IT), pembinaan kereta elektrik dan tenaga diperbaharui.

Ia juga memberitahu, lawatan delegasi dari China ke UiTM Sarawak dapat meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak dan mencipta peluang-peluang penyelidikan dalam bidang-bidang ini.

Sebelum mesyuarat itu, satu rundingan telah diadakan antara kedua-dua pihak, membincangkan program-program seperti pertukaran pelajar dan pensyarah, geran pemadanan serta projek-projek penyelidikan.

Bagi menandakan acara itu, Mohammad Isa dan Wu membuka tirai plak Luban Mozi College yang mewakii tanda persahabatan antara kedua-dua institusi pengajian tinggi itu.
 

Advertisement