Anda di sini

Tuai rumah, ketua kampung perlu hayati tugas dan tanggungjawab diamanahkan 

Advertisement
Harden (duduk lima kiri), Shariff (empat kiri), Rachel (enam kiri) bersama ketua kaum yang lain selapas penyampaian sijil lanjutan sebagai Tuai Rumah, Ketua kampung dan Kapitan dekat sini pada Selasa.
Harden (duduk lima kiri), Shariff (empat kiri), Rachel (enam kiri) bersama ketua kaum yang lain selapas penyampaian sijil lanjutan sebagai Tuai Rumah, Ketua kampung dan Kapitan dekat sini pada Selasa.

SRI AMAN: Tuai rumah dan ketua kampung yang bersetuju dilantik ke jawatan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu menghayati tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. 

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis harden Hollis menegaskan, KMKK perlu menjalankan tadbir urus dan tatakelola yang sistematik dan telus agar rakyat di bawah jagaan mereka mendapat maklumat yang tepat mengenai perancangan pembangunan daripada kerajaan.

"Sebagai pencerahan kepada tugas asas dalam organisasi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), tuai rumah dan ketua kampung selaku pengerusi JKKK perlu menyimpan rekod profil kampung dan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun.

“Bukan setakat itu sahaja, setiap profil serta minit mesyuarat yang diadakan di peringkat JKKK perlu dimajukan ke Pejabat Daerah dan salinan ke Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Pelanjutan Ketua Kaum (Tuai Rumah, Ketua Kampung dan Kapitan) bagi kawasan DUN Simanggang bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Sri Aman dekat sini pada Selasa.

Harden menambah, KMKK yang dilantik perlu memenuhi kehendak pada garis panduan yang telah disediakan di samping menggerakkan JKKK agar tetap relevan di peringkat kampung masing-masing.

"Seperkara yang perlu dilakukan dan sebagai tugas rutin adalah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun. Mesyuarat bertujuan untuk memberi maklumat kepada ahli mengenai aktiviti yang bakal dilaksanakan. Platform untuk memberitahu dasar kerajaan.

"Setiap JKKK juga diwajibkan mengemaskini profil kampung dan buku akaun JKKK. Ini kerana terdapat kes perubahan nama akaun tidak dimaklumkan kepada pusat khidmat wakil rakyat yang menyebabkan penyaluran peruntukan menggunakan cek kerap kali ditolak," katanya.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas Pemanca Jegai Jawa yang telah tamat tempoh memegang jawatan pemanca kaum Iban di Daerah Sri Aman. Beliau telah memegang jawatan pemanca bermula 17 Januari 2021 hingga 31 Disember tahun lalu.

"Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebelum ini,” jelasnya lagi. 

Turut hadir sama menyaksikan penyerahan sijil perlanjutan berkenaan Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Leonard Libau Anol, Penghulu Kang Tai Kong dan Penghulu Empaga Bailey.

Seramai 38 individu menerima sijil pelanjutan sebagai tuai rumah, ketua kampung dan kapitan dalam kawasan DUN Simanggang pada majlis tersebut yang turut disaksikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman Shariff Bujang dan wakil Residen Bahagian Sri Aman Rachel Deborah Doset.
 

  • oleh
  • Advertisement