Anda di sini

Tentera Israel serang kedutaan Iran di Syria, tujuh maut

Advertisement
Pegawai keselamatan dan kecemasan berhimpun berhampiran bangunan kedutaan Iran yang musnah dalam serangan udara Israel di Damsyik kelmarin. — Gambar AFP
Pegawai keselamatan dan kecemasan berhimpun berhampiran bangunan kedutaan Iran yang musnah dalam serangan udara Israel di Damsyik kelmarin. — Gambar AFP

DAMSYIK: Serangan udara Israel memusnahkan bangunan kedutaan Iran di Damsyik kelmarin, kata pegawai Syria dan Iran, dengan komander tertinggi Pengawal Revolusi adalah dalam kalangan tujuh anggota yang terbunuh, tatkala ketegangan serantau semakin teruk.

Israel enggan mengulas tentang serangan yang dilaporkan, tetapi pihak berkuasa Iran berikrar akan bertindak balas tegas dan mereka khuatir akan keganasan susulan antara Israel dan sekutu Iran yang dicetuskan oleh perang Gaza.

Badan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, 11 orang, termasuk beberapa anggota Pengawal, terbunuh apabila peluru berpandu Israel memusnahkan bangunan kedutaan Iran.

Duta Iran ke Syria, Hossein Akbari, memberikan jumlah yang lebih rendah, memberitahu televisyen kerajaan Iran bahawa “sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh jet pejuang F-35” yang melepaskan enam peluru berpandu ke arah bangunan itu.

Wartawan AFP melihat bangunan itu runtuh, dan pasukan kecemasan bergegas mencari mangsa di bawah runtuhan ketika siren bergema di daerah mewah Damsyik, Mazzeh.

Kementerian pertahanan Syria berkata “serangan itu memusnahkan seluruh bangunan, membunuh dan mencederakan semua orang di dalam, dan kerja sedang dijalankan untuk mencari mayat dan menyelamatkan yang cedera dari bawah runtuhan”.

Bangunan yang disasarkan itu terletak bersebelahan dengan kedutaan Iran, bahagian hadapannya dihiasi dengan potret besar Qassem Soleimani, arkitek operasi ketenteraan Iran di Timur Tengah, yang terbunuh pada Januari 2020 dalam serangan dron Amerika di Iraq.

Serangan di Damsyik itu adalah yang kelima dalam minggu ini ke atas Syria, pimpinan Presiden Bashar al-Assad yang disokong oleh Iran, musuh ketat Israel di rantau itu.

Duta Iran, Akbari, berikrar serangan itu “akan membawa kepada tindak balas tegas kami”, sambil menambah bahawa “serangan Israel ke atas konsulat Iran menunjukkan realiti entiti Zionis yang tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa dan melakukan semua yang tidak berperikemanusiaan untuk mencapai matlamatnya”. — AFP
 

Advertisement