Anda di sini

Salah guna dadah, lelaki didenda dan diawasi polis

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh  menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua bulan.
    
Venon Tujoh Achu, 34, dari Batu 1 Jalan Bekenu, Bekenu, telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.40 pagi, 24 Disember 2023 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.
    
Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Randu Rangen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement