Anda di sini

Program Infak Baju Raya Al Bait bagi daerah Lawas kumpul 3,000 pasang baju

Advertisement
Nor Nadiah (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada wakil media di Lawas Adeng Idrus pada program tersebut.
Nor Nadiah (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada wakil media di Lawas Adeng Idrus pada program tersebut.

LAWAS: Kira-kira 3,000 pasang baju berjaya dikumpul daripada penyumbang sempena Program Infak Baju Raya Al Bait bagi daerah Lawas semalam.

Timbalan Ketua Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Limbang Nor Nadiah Abas berkata, program itu  dilaksanakan Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Koperasi Al-Bait Sarawak Berhad (KOOPBAIT).

Beliau berkata, program itu bertujuan berkongsi kegembiraan bersama golongan yang memerlukan sebagai persiapan menjelang Aidilfitri.

“Pada masa sama ia dapat menyemai budaya suka menyumbang dalam kalangan masyarakat kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada program itu.

Kata Nor Nadiah, projek yang dilaksanakan di Kuching sejak Ramadan tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan masyarakat umum.

Susulan sambutan memberangsangkan daripada masyarakat untuk Projek Infak Baju Raya Al-Bait ini, maka ia telah diperluas ke bahagian-bahagian lain seperti Samarahan, Serian, Sri Aman, Mukah, Bintulu dan Miri di bawah Projek Infak Pakaian Al Bait yang beroperasi di luar bulan Ramadan.

Sejak pelancaran projek ini pada 2023, lebih 18,000 pasang pakaian telah diagihkan kepada kira-kira 3,000 orang yang memerlukan.

Justeru, masyarakat memerlukan di sini mendapatkan baju percuma di pekarangan Pejabat TBS Lawas pada agihan yang bermula kelmarin hingga hari ini, jam 9 pagi hingga 3 petang.
 

  • oleh
  • Advertisement