Anda di sini

Lelaki Indonesia dipenjara dua tahun kerana bawa lima migran diseludup di ICQS Biawak

Advertisement
Aprizal (tiga kanan) dan Joko (empat kanan) diiring pihak JIM semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
Aprizal (tiga kanan) dan Joko (empat kanan) diiring pihak JIM semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki Indonesia dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuching hari ini selepas mengaku bersalah membawa lima migran iaitu rakan senegaranya yang diseludup di ICQS Biawak, Lundu pada April 2023.

Aprizal Suherman, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Alexander Siew How Wai sebaik didakwa mengikut pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Aprizal didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 7.02 pagi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak pada 18 April 2023. 

Fakta kes mendedahkan sepasukan penguat kuasa yang melaksanakan Ops Bersepadu memeriksa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan nombor plat Indonesia yang menghala ke Kaunter Pemeriksaan Keluar ICQS Biawak.

Mereka kemudian mendapati Aprizal sebagai pemandu kenderaan membawa lima migran disyaki warga Indonesia. 

Pasukan penguat kuasa seterusnya membuat semakan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan kesemua migran tersebut didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia. 

Susulan itu, pasukan penguat kuasa menahan Aprizal dan lima migran tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki Indonesia dipenjara 18 bulan kerana melakukan kesalahan di bawah seksyen sama iaitu membawa tiga rakan senegaranya yang diseludup dalam satu kejadian berasingan pada 18 April 2023, sekitar jam 5.05 pagi di pekarangan sebuah rumah di Kampung Biawak, Lundu.  

Joko Minto, 37, yang mengaku bersalah sebaik didakwa atas pertuduhan alternatif, ditangkap bersama dua migran semasa Ops Bersepadu yang dilaksanakan pada tarikh tersebut. 

Berdasarkan carian yang dijalankan dengan JIM juga, lima migran bersama Joko turut didapati tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia dan susulan itu, kesemua mereka ditahan.

Dalam pada itu, kesemua migran membabitkan kedua-dua kes dilaporkan telah didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan telahpun dijatuhkan hukuman setimpal akibat tinggal lebih masa di Malaysia.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kong Siew Chuo, sementara Aprizal diwakili peguam Steven Beti dan Joko diwakili peguam Gerald Empaling Donald.
 

  • oleh
  • Advertisement