Anda di sini

Lelaki diperintah bela diri atas tuduhan edar dadah

Advertisement
 

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan seorang lelaki membela diri atas pertuduhan mengedar dadah tahun lepas setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Hakim Wong Siong Tung membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan pada penutupan kes pendakwaan dan hujah daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Tertuduh, Wong Lee Ming, 33, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebat tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Lee Ming juga didakwa memiliki dadah di bawah Seksyen 39A(1) DDA 1952 yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan penjara maksimum lima tahun, dan juga boleh dihukum sebat tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak lebih daripada sembilan sebatan apabila sabit kesalahan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya bagi pertuduhan kedua itu.

Mahkamah memberi tiga pilihan kepada tertuduh iaitu memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi, memberi keterangan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh atau berdiam diri.

Tertuduh memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Mahkamah menetapkan 4 dan 5 Julai ini untuk perbicaraan bagi tertuduh membela diri.

Mengikut pertuduhan pertama, Lee Ming didakwa mengedar 69.82 gram Methamphetamine pada 16 Februari 2023, kira-kira jam 7.10 malam di sebuah rumah di Lorong Ek Dee 16.

Dia menghadapi pertuduhan kedua atas dakwaan memiliki 21.83 gram Methamphetamine pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto, sementara tertuduh diwakili peguam Daren Ling.

  • oleh
  • Advertisement