Anda di sini

ACCCIS gesa pihak terlibat boikot KK Mart sahut seruan Agong, PM

Advertisement
 

KUCHING: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) menggesa semua pihak yang terlibat dalam pemboikotan KK Mart berhubung isu stoking supaya menyahut seruan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Sekretariat ACCCIS menerusi kenyataan hari ini berkata, semua yang terlibat juga digesa menghentikan serta-merta bagi mengelak kontroversi daripada terus meruncing dan menimbulkan lebih banyak pergolakan.

Katanya, memandangkan isu stoking KK Mart telah memasuki proses undang-undang, ACCCIS sebagai sebahagian daripada komuniti perniagaan, menggesa semua pihak menghormati prosedur kehakiman dan mematuhi undang-undang dan peraturan negara.

"Adalah mustahak bagi semua yang terlibat untuk mendekati isu ini secara rasional dan menghentikan boikot tidak wajar mereka terhadap perniagaan.

"Tindakan sedemikian akan mempunyai implikasi yang meluas ke atas ekonomi dan perniagaan, bukan sahaja menyebabkan kemudaratan kepada syarikat terbabit tetapi juga berpotensi membawa kepada pemberhentian, akhirnya menjejaskan pekerja yang tidak bersalah," katanya.

Sekretariat ACCCIS berkata, tambahan boikot itu juga boleh mencemarkan imej negara, menghalang pelaburan asing dan menjejaskan usaha untuk menarik pelaburan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara kita.

Pada masa yang sama, ACCCIS mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan tidak bertanggungjawab dan melulu yang menyebabkan panik dan keresahan orang ramai, khususnya serangan 'molotov cocktail' ke atas kedai KK Mart di Jalan Satok, Kuching baru-baru ini.

"Insiden ini memberi amaran keras kepada semua untuk memainkan peranan untuk memelihara perpaduan dan menggalakkan toleransi di kalangan masyarakat kita.

"Ini kerana Sarawak telah dipuji sebagai negeri contoh dari segi keharmonian kaum dan agama dan kita tidak seharusnya mengambil mudah mana-mana perkara ini," ujarnya.

ACCCIS berharap kerajaan akan segera dan berkesan menangani isu itu dan menyelesaikan kontroversi berkenaan dan mengambil langkah segera untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi lebih teruk, membahayakan keamanan dan kestabilan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.

"Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak untuk mengekalkan rasional dan bersatu sebagai satu keluarga besar untuk menjaga keamanan, keselamatan dan perpaduan negara kita dalam mengatasi kontroversi ini," jelas ACCCIS.
 

Advertisement