Anda di sini

Yayasan Farley menyantuni 30 anak yatim sekitar Kota Samarahan 

Advertisement
(Dari kiri) Sim, Minos, Lau, Gustian dan Mual (kanan) menghulurkan makanan dan menyantuni tetamu semasa majlis tersebut.
(Dari kiri) Sim, Minos, Lau, Gustian dan Mual (kanan) menghulurkan makanan dan menyantuni tetamu semasa majlis tersebut.

KOTA SAMARAHAN: Seramai 30 anak yatim dari enam sekolah di sekitar kawasan ini diraikan pada Majlis Sentuhan Kasih anjuran Yayasan Farley petang tadi.

Selain diberikan baucar RM50 untuk membeli kelengkapan Aidilfitri di pasar raya Farley Kota Samarahan, setiap seorang daripada pelajar tersebut turut diberikan satu pek sumbangan berisi kurma dan makanan kering. 

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud sambil disaksikan oleh Pengarah Farley Eiyen Lau, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos dan tetamu kehormat lain. 

Lau berkata, Farley sentiasa memikirkan cara untuk menyumbang balik kepada komuniti di sekeliling Bandar Riyal, Kota Samarahan sebagai menghargai sokongan diberikan kepada pihaknya dalam tempoh sembilan tahun ini.

“Menerusi Majlis Sentuhan Kasih ini, kita berpeluang menyantuni anak yatim. Semoga sumbangan ini akan membantu dari segi memberikan kasih sayang supaya mereka juga dapat membimbing masyarakat pada satu hari nanti,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Tambah Lau, dalam memberi balik kepada komuniti, pihaknya turut membantu menjaga landskap dan kebersihan di sekeliling kawasan tersebut dengan menanggung semua kos pokok bunga dan penyelenggaraan untuk menceriakan suasana di situ.

Para pelajar yang menerima sumbangan menunjukkan barangan yang dibeli oleh mereka.
Para pelajar yang menerima sumbangan menunjukkan barangan yang dibeli oleh mereka.

“Pondok polis turut dibina dan dijaga untuk menjamin keselamatan orang ramai di samping dapat mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di sekitar Bandar Riyal,” katanya. 

Sementara itu, Mual semasa ucapannya menyanjung tinggi usaha pihak Farley yang menyantuni anak-anak yatim, sekali gus meraikan bulan Ramadan yang mulia ini. 

“Semoga usaha ini dapat diteruskan pada bila-bila masa dan kita mendoakan agar Farley bertambah maju makmur dan pada masa yang sama, dapat memastikan Bandar Riyal sebagai tempat selamat dan selesa untuk membeli-belah,” katanya. 

Program menyantuni anak yatim tersebut turut dihadiri Setiausaha MPKS Gustian Durani, Kaunselor MPKS Datuk Sim Kiang Chiok, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin dan tetamu kehormat lain. 

Selain sesi membeli-belah, sesi ucapan dan penyampaian sumbangan, majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa serta solat Maghrib sebelum bersurai. 
 

  • oleh
  • Advertisement