Anda di sini

Sivasangari takluk Kejohanan Skuasy Klasik London

Advertisement
Gambar Facebook Squash - PSA World Tour

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara S. Sivasangari melakar sejarah tersendiri selepas muncul juara edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London dengan menyingkirkan pemain ranking kedua dunia Hania El Hammamy dari Mesir di pentas final pada Isnin.

Juara Sukan Asia 2022 itu bagaimanapun terpaksa bermandi peluh sebelum mencipta kejutan dengan keputusan 3-2 ke atas El Hammamy pada pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf emas di Alexandra Palace, London itu.

Sivasangari ranking ke-13 dunia bermula dengan baik apabila berjaya meraih kemenangan set pertama 11-9, sebelum El Hammamy bangkit merakam kemenangan 11-5 di set kedua.

Set ketiga, kawalan permainan ternyata lebih memihak kepada Sivasangari apabila beliau kembali di depan dengan kemenangan set ketiga 13-11, namun El Hammamy belum sedia mengibarkan bendera putih kembali merapatkan mata dengan kemenangan 14-12.

Set penentuan, berbekalkan momentum meraih dua kemenangan masing-masing mengejutkan pemain ranking pertama dunia Nour El Sherbini dari Mesir (suku akhir) dan ranking keempat dunia Nele Gilis dari Belgium (separuh akhir), pemain berusia 25 tahun itu membuktikan beliau lebih layak merangkul kejuaraan tersebut apabila menoktahkan kemenangan 11-8 ke atas El Hammamy.

Kemenangan itu merupakan yang kedua buat Sivasangari ke atas El Hammamy sepanjang enam pertemuan sebelum ini.

Kejayaan ke final kejohanan bertaraf emas itu juga menyamai rekod yang pernah dicatatkan bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David pada 2015.

"Tiada kata untuk menggambarkannya (kemenangan ini) tapi saya sangat gembira dengan cara saya menangani minggu ini dengan menewaskan pemain dalam ranking 10 terbaik tiga kali. Mereka semua pemain yang baik.

“Gembira dengan cara saya memenangi kejohanan ini,” katanya.

Kejayaan itu membolehkan Sivasangari membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$17,598 (RM83,141). - BERNAMA

Advertisement