Anda di sini

Sinner ungguli kejuaraan Siri Master Terbuka Miami 

Advertisement
SINNER
SINNER

MIAMI: Jaguh tenis dari Itali, Jannik Sinner, memenangi kejuaraan Siri Master Terbuka Miami dengan kemenangan selesa 6-3 dan 6-1 ke atas pemain dari Bulgaria, Grigor Dimitrov di final yang berlangsung di Stadium Hard Rock pada Ahad.

Kejuaraan ketiga Sinner musim ini bermakna dia akan melonjak ke kedudukan tertinggi ranking dalam kariernya di tangga kedua dunia, di hadapan jaguh tenis dari Sepanyol, Carlos Alcaraz.

Sinner mengakhiri musim di permukaan simen dengan prestasi cemerlang, memenangi 25 dari 26 perlawanan terakhir - dengan kekalahan tunggal ialah ketika menentang Alcaraz di peringkat separuh akhir kejohanan Siri Master Indian Wells.

Sinner hanya memerlukan 72 minit untuk menang dan tidak pernah kelihatan dalam bahaya selepas mendahului pada permainan kelima set pertama dan hanya sekali ketinggalan mata dalam sepanjang dua set permainan.

“Ketika kejohanan ini berlarutan, saya berasa semakin bagus. Prestasi saya hari ini benar-benar bagus. Saya berasa bangga dengan cara bagaimana saya menangani situasi,” kata Sinner.

Sinner mengakhiri set pertama dengan bergaya apabila pukulan backhandnya tepat di garisan gelanggang, menyebabkan penonton berdiri memberikan tepukan.

Dimitrov, yang memiliki gaya pukulan backhand sebelah tangan seperti bintang legenda Roger Federer, mendapat sokongan kuat dari penonton tempatan tetapi pendekatan tenang Sinner dan juga teknik pukulan tepat ternyata terlalu bagus untuk dihadapi.

Sinner mendahului 3-1 pada set kedua dan tidak langsung memberikan ruang kepada lawannya sebelum mengesahkan kejuaraan.

Sinner kini menambah koleksi kejuaraan di Miami dengan kejuaraan di Terbuka Australia dan di Rotterdam pada musim ini.

Kejuaraan di sini adalah dari penampilan ketiga di final selepas tewas kepada Hubert Hurkacz dari Poland pada 2021 dan kepada Daniil Medvedev tahun lepas.

Kejuaraan Siri Master terakhir Sinner ialah di Toronto pada tahun lepas.

Medvedev akan kembali ke dalam senarai 10 pemain ranking teratas dunia buat kali pertama sejak bulan Oktober 2018.

Kemaraan Sinner ke final di sini termasuk kemenangan di peringkat suku akhir ke atas Alcaraz dan menewaskan Alexander Zverev, pemain ranking kelima dunia di peringkat separuh akhir. — AFP

Advertisement