Anda di sini

Salah bantu Liverpool melonjak tangga teratas

Advertisement

The Reds melengkapkan kebangkitan dengan kemenangan 2-1 ke atas Brighton pada perlawanan di Anfield

Salah (kanan) merembat bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara  Liverpool dan Brighton and Hove Albion di Anfield di Liverpool, kelmarin. — Gambar AFP
Salah (kanan) merembat bola pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara  Liverpool dan Brighton and Hove Albion di Anfield di Liverpool, kelmarin. — Gambar AFP


LIVERPOOL: Mohamed Salah melonjak Liverpool ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris apabila melengkapkan kebangkitan dengan gol kemenangan 2-1 pada Ahad.

Skuad kendalian Jurgen Klopp dikejutkan dengan gol awal Danny Welbeck selepas 85 saat sepak mula di Anfield untuk meletakkan Brighton di hadapan.

Luis Diaz bagaimanapun mengikat kedudukan buat Liverpool pada lewat separuh masa pertama sebelum Salah menjaringkan gol kemenangan selepas rehat.

Gol ketiga Salah dalam tiga perlawanan terakhir itu adalah koleksi gol ke-22 dalam semua pertandingan musim ini.

Belum tewas dalam enam perlawanan liga terakhir, Liverpool kini berkelebihan dua mata di hadapan Arsenal dan tiga mata di hadapan Manchester City selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada perlawanan lewat.

Kerana gol kemenangan Salah, Liverpool, yang memburu tiga kejuaraan musim ini, berada di kedudukan selesa untuk memenangi kejuaraan liga yang ke-20 - kejuaraan pertama sejak 2020 - pada musim terakhir Klopp sebagai pengurus kelab.

“Menjadi sangat tenang dalam saat yang penting dengan peluang terbesar yang kami ada dari aksi terbaik kami, kemudian ia menjadikan penjaring gol sebenar jadi kami berasa sangat gembira dengan segala-galanya,” kata Klopp.

“Pemain pertahanan tengah Brighton cukup kental dan ia semakin bagus ketika permainan berlarutan, menentang lawan yang anda tahu memerlukan usaha yang gigih.

“Untuk bertahan ia memerlukan kesungguhan yang tinggi dalam bola sepak Inggeris dan kami melakukannya dnegan baik. Lebih penguasaan bola dengan rentak yang bagus.”

Belum tewas dalam 27 perlawanan liga terakhir di tempat sendiri, Liverpool kembali beraksi di Anfield menentang kelab tercorot, Sheffield United pada Khamis ini.

Selepas bekas bintang Liverpool, Xabi Alonso mengesahkan bahawa dia mahu terus kekal di Bayer Leverkusen, pengurus Brighton, Roberto De Zerbi dilaporkan menjadi calon untuk menggantikan Klopp apabila jurulatih dari Jerman itu melepaskan jawatannya pada akhir musim ini.

Klopp adalah peminat corak permainan menyerang De Zerbi dan memujinya sebagai “jurulatih hebat” minggu ini.

Ditanya selepas perlawanan tentang pertalian kepada Liverpool, De Zerbi berkata: “Saya masih mempunyai tempoh dua tahun lagi dalam kontrak di kelab. Fokus saya ialah kepada Brighton musim ini dan musim hadapan.

“Tetapi sebelum memulakan musim baharu, saya mahu mendengar perancangan pasukan. Saya fikir ia adalah perkara yang serius.”

Beraksi buat kali pertama sejak tewas di peringkat suku akhir Piala FA Inggeris di Manchester United dua minggu lepas, Liverpool tersentak dengan taktik permainan De Zerbi seawal dua minit permainan.

Simon Adingra melakukan larian pantas dari sepak mula yang mengejutkan pertahanan Liverpool, Conor Bradley.

Apabila Virgil Va Dijk gagal mengeluarkan bola dari bahaya, yang sampai kepada Welbeck dalam kotak penalti, penyerang itu merembat ke pintu gol untuk membuka jaringan.

Salah membuat penampilan kesebelasan utama dalam liga sejak Tahun Baharu selepas kecederaan menyelubungi di awal tahun ini.

Cuba untuk menebus kehilangan masa bermain, Salah hampir mengikat kedudukan tetapi rembatan lencongnya sedikit tersasar.

Penyerang antarabangsa Mesir itu mempunyai satu lagi peluang dari umpanan Bradley tetapi gagal melakukan penyudah kemas dari dalam kotak penalti.

Penguasaan Liverpool bagaimanapun mendapat ganjaran pada minit ke-27 apabila Brighton gagal mengeluarkan bola bahaya dari tandukan Salah, membolehkan Diaz merembat bola dari jarak dekat.

Pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister gagal menyempurnakan peluang awal untuk meletakkan Liverpool di hadapan buat kali pertama menentang bekas kelabnya dengan satu tandukan yang sedikit tinggi dari palang gol pada awal separuh masa kedua.

Dominik Szoboszlai juga mempunyai peluang sebelum rembatan Darwin Nunez ditepis penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen.

Asakan demi asakan Liverpool akhirnya berjaya menembusi benteng Brighton buat kali kedua apabila Mac Allister melakukan umpanan tepat kepada Salah untuk menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65.

Brighton mempunyai peluang untuk mengikat kedudukan tetapi bekas pemain Liverpool, Adam Lallana gagal melakukan penyudah kemas sebelum Liverpool bertahan sehingga ke wisel penamat. — AFP

Advertisement