Anda di sini

RM30 juta naik taraf 73 jalan ladang

Advertisement

Projek diharap dapat bantu pekebun bangunkan lagi ladang mereka seterusnya meningkatkan produktiviti

Uggah menyerahkan surat kontrak kepada wakil syarikat kontraktor yang akan menaik taraf Jalan Kebun Cina, Spaoh. Turut kelihatan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu (empat kanan).
Uggah menyerahkan surat kontrak kepada wakil syarikat kontraktor yang akan menaik taraf Jalan Kebun Cina, Spaoh. Turut kelihatan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu (empat kanan).

"Kita berharap kita dapat membantu semua pekebun ini memajukan kebun mereka dan mendapat hasil lebih banyak."

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Timbalan Premier Sarawak 

Oleh Patricia Gari

KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah membelanjakan RM30 juta bagi menaik taraf 73 jalan ladang kelapa sawit, lada dan getah di kawasan Bukit Saban sejak tahun 2023.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata menerusi projek menaik taraf jalan-jalan berkenaan diharap pekebun berbabit dapat dibantu membangunkan lagi ladang mereka seterusnya meningkatkan produktiviti.

"Kita berharap kita dapat membantu semua pekebun ini memajukan kebun mereka dan mendapat hasil lebih banyak," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kontrak kepada syarikat kontraktor yang akan menaik taraf jalan kebun di Kebun Cina, Spaoh, Betong  hari ini.

Tambahnya projek menaik taraf jalan kebun itu dibiayai BDDA, bernilai RM388,000.

Menyentuh isu lain, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata beliau sedih dengan tindakan beberapa individu tidak bertanggungjawab mencuri komponen elektronik di beberapa menara komunikasi di Bukit Saban dan Layar.

"Menara ini dibangunkan bagi memudahkan orang ramai berkomunikasi dengan saudara-mara dan sahabat-handai di seluruh negeri, negara dan dunia.

“Pelakunya harus berfikir panjang sebelum melakukan vandalisme seperti itu. Saya harap pihak polis akan melakukan siasatan segera dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," ujarnya.

Beliau juga berharap penduduk yang tinggal berhampiran menara telekomunikasi terus 'berjaga-jaga' dalam usaha sama-sama memastikan menara itu kekal selamat.
 

Advertisement