Anda di sini

Man City terikat tanpa jaringan menentang Arsenal

Advertisement
Pemain pertahanan Arsenal Gabriel Magalhaes (kiri) bersaing mendapatkan bola dengan penyerang Manchester City Erling Haaland perlawanan Liga Perdana Ingeris di antara Manchester City dan Arsenal di Stadium Etihad di Manchester, kelmarin. — Gambar AFP
Pemain pertahanan Arsenal Gabriel Magalhaes (kiri) bersaing mendapatkan bola dengan penyerang Manchester City Erling Haaland perlawanan Liga Perdana Ingeris di antara Manchester City dan Arsenal di Stadium Etihad di Manchester, kelmarin. — Gambar AFP

MANCHESTER: Manchester City gagal menembusi benteng kebal Arsenal ketika pertemuan yang dinanti-nanti di kelompok teratas Liga Perdana Inggeris gagal menarik perhatian berbanding sebelum perlawanan selepas seri tanpa jaringan di Stadium Etihad pada Ahad.

Keputusan seri itu memberikan kelebihan kepada Liverpool, yang menewaskan Brighton 2-1 pada perlawanan awal untuk naik ke tangga teratas liga, dua mata di hadapan Arsenal dan tiga mata di hadapan City dengan berbaki sembilan perlawanan sahaja lagi musim ini.

Keputusan ini bagaimanapun melanjutkan tempoh tanpa kalah City di Etihad sejak November 2022 dan mengakhiri rekod lapan kemenangan berturut-turut Arsenal dalam liga.

Namun Arsenal kelihatan lebih gembira dengan keputusan seri ketika mereka berjaya menghalang City daripada menjaringkan gol buat kali pertama di Etihad dalam tempoh dua tahun.

“Di benteng pertahanan, kami cukup hebat,” kata pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

“Langkah seterusnya dengan bola ialah untuk mempunyai lebih ketenangan untuk menyerang dengan lebih bagus.

“Mereka adalah pasukan terbaik di dunia, pengurus terbaik dan kami harus mengejar. Itu adalah cabaran bagi kami.”

City menguasai 72 peratus permainan namun bergelut menembusi benteng pertahanan yang bolos paling sedikit gol dalam Liga Perdana musim ini.

“Kami tidak mencipta banyak peluang,” kata pengurus City, Pep Guardiola. “Ia bukan mudah untuk menembusi pertahanan mereka tetapi saya menyedari strategi mereka.”

Guardiola berkata Liverpool sekarang menjadi “pilihan” untuk memenangi kejuaraan dalam musim terakhir Jurgen Klopp sebagai pengurus.

City masih belum meraih kemenangan dalam enam perlawanan ketika menentang lawan dari lima tangga teratas liga dan harus mengakhiri rekod itu apabila Aston Villa, pasukan di tangga keempat liga, bertandang pada Rabu dalam usaha untuk mengekalkan saingan kejuaraan mereka.

“Seperti biasa, sesiapa di tangga teratas adalah pilihan juara, pilihan kedua adalah Arsenal,” tambah Guardiola.

“Ia tidak di tangan kami. Apa yang boleh kami lakukan ialah meraih kemenangan pada perlawanan menentang Aston Villa.”

Arsenal juga sebelum perlawanan ini mempunyai rentak jaringan, apabila menjaringkan 33 gol sepanjang tempoh lapan kemenangan berturut-turut.

Bagaimanapun, mereka sudah tewas lapan kunjungan terakhir ke Etihad, termasuk dibelasah 1-4 ketika saingan kejuaraan liga memihak kepada City musim lepas, dan memilih pendekatan serangan pantas kali ini.

“Sebelas bulan yang lalu, kami berada di sini dan situasinya adalah sangat berbeza, kami harus terus melakukan langkah,” tambah Arteta, yang berkata pasukannya masih perlu meningkat untuk menyamai standard yang dihasilkan oleh City dengan memenangi lima kejuaraan Liga Perdana dalam enam musim terakhir.

Nathan Ake mensia-siakan peluang terbaik City dalam separuh masa pertama apabila gagal menyempurna satu tendangan sudut cantik Kevin De Bruyne.

City sudah kehilangan dua pemain pertahanan utama, Kyle Walker dan John Stones selepas kedua-dua pemain antarabangsa England itu mengalami kecederaan ketika beraksi bersama England.

Dan Guardiola terpaksa menurunkan barisan pertahanan baharu apabila Ake dikeluarkan pada minit ke-27 kerana kecederaan namun Arsenal kelihatan jarang menguji pertahanan City.

Gabriel Jesus gagal menyempurnakan hantaran Bukayo Saka buat Arsenal untuk antara peluang jarang Arsenal di hadapan pintu gol City.

Keputusan seri bagaimanapun mengekalkan peluang kedua-dua pasukan untuk terus bersaing dengan hanya tiga mata memisahkan tiga pasukan teratas liga. — AFP

Advertisement