Anda di sini

Literasi digital diintegrasi dalam kurikulum SeDidik

Advertisement

Sejajar dengan inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, integrasi dalam depani cabaran, peluang era digital

Fatimah (tengah) bersama yang lain  menunjukkan tablet KIDS Bits and Bytes yang akan diguna pakai dalam sistem pembelajaran di SeDidik Sarawak. -Gambar Roystein Emmor
Fatimah (tengah) bersama yang lain menunjukkan tablet KIDS Bits and Bytes yang akan diguna pakai dalam sistem pembelajaran di SeDidik Sarawak. -Gambar Roystein Emmor

"Kita memberi tumpuan kepada pengajaran keselamatan Internet dan menggalakkan penggunaan peranti digital yang produktif dalam kalangan murid yang sedang menduduki pendidikan awal kanak-kanak di sini."

Dato Sri Fatimah Abdullah
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti

Oleh Henrietta Liza

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) sedang mengintegrasikan program literasi digital ke dalam kurikulum utama SeDidik.

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha ini sejajar dengan inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, integrasi dalam mendepani cabaran dan peluang era digital.

"Kita memberi tumpuan kepada pengajaran keselamatan Internet dan menggalakkan penggunaan peranti digital yang produktif dalam kalangan murid yang sedang menduduki pendidikan awal kanak-kanak di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan 488 unit komputer tablet KIDS Bits & Bytes Persatuan Kebajikan Rolf Schnyder kepada 61 pusat SeDidik Sarawak di Baitul Makmur II hari ini.

Sebelum itu, beliau menambah bahawa pihaknya melengkapkan 117 orang guru dengan kemahiran literasi digital asas pada Februari dan Mac 2024.

"Ini bagi memastikan guru-guru kami dapat membimbing dan menginspirasi generasi masa depan kita yang sentiasa menjadi keutamaan kami.

"Inisiatif ini mencerminkan visi dan dedikasi para pendidik kami yang berfikiran progresif," tambahnya.

Pada tahun lalu, program KIDS Bits and Bytes dilancarkan di enam sekolah perintis di negeri ini, berkat sumbangan Persatuan Kebajikan Rolf Schnyder sebagai sebahagian daripada Inisiatif Literasi Digital.

Fatimah juga berkata bahawa inisiatif penilaian impak untuk tujuan itu juga telah dilancarkan untuk menilai hasil dan impak daripada usaha tersebut.

"Dengan melibatkan semua pihak berkepentingan, kami memastikan bahawa inisiatif kami kekal relevan dan berkesan,” katanya.

Hadir sama adalah Pengurus Besar SeDidik Sdn Bhd Ayub Dahari dan Timbalan Pro-Naib Canselor (Kajian) Swinburne University of Technology Sarawak Profesor Ida Fatimawati Badiozaman.

Juga Pengarah Program Persatuan Kebajikan Rolf Schnyder Scott J. Wong dan Andrea G. Githens.
 

Advertisement