Anda di sini

KUSKOP alu-alukan hasrat perusahaan besar bangunkan PMKS sebagai vendor, francaisi

Advertisement
 Ewon mendengar taklimat daripada Paul.
TAKLIMAT: Ewon mendengar taklimat daripada Paul.

REMBAU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengalu-alukan hasrat perusahaan besar mengembangkan perniagaan dan membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini bagi membantu kerajaan membangunkan komuniti PMKS dan koperasi menjadi usahawan vendor atau usahawan francaisi.

“Kilang perusahaan Kumpulan syarikat Worldsign Industries di Rembau, Negeri Sembilan memiliki rantaian bekalan daripada ladang ternakan ayam, kilang pemprosesan, rangkaian logistik dan kedai pengguna serta pelbagai rakan strategik.

“Jenama syarikat ini yang dikenali ramai di Semenanjung adalah produk ayam mentah HyFresh dan rangkaian kedai pengguna ABT Fresh dan Frozen Food Supply.

“Saya menyokong hasrat syarikat ini mengembangkan rangkaian bekalan dan rakan strategik ke Sabah dan Sarawak,” katanya selepas melawat Kilang Perusahaan WorldSign Industries, di sini.

Turut hadir pengurusan tertinggi Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bahagian Francais dan Pembangunan Vendor KUSKOP.

Ewon turut mengalu-alukan hasrat syarikat itu bekerjasama dengan kerajaan negeri serta ladang kontrak dengan koperasi dan individu di Sabah.

“Berdasarkan taklimat, syarikat ini sudah mempunyai rangkaian yang luas di Semenanjung dan saya berharap agensi kementerian dapat membantu menyediakan perkhidmatan yang diperlukan untuk merealisasikan hasrat syarikat mengembangkan rangkaian perniagaan mereka.

“Syarikat ini juga berminat mendaftarkan jenama rangkaian kedai untuk francais, sekaligus membuka peluang kepada usahawan francaisi di seluruh negara,” katanya.

Ewon dan rombongan diberikan taklimat korporat mengenai syarikat WorldSign Industries dan kemudiannya dibawa meninjau pusat pemprosesan, pembungkusan dan penyejukbekuan ayam.

Taklimat disampaikan oleh Pengarah Urusan WorldSign Industries Paul Khoo.

Advertisement