Anda di sini

JPBNS akan menentukan jumlah bantuan bina semula rumah, rumah panjang musnah terbakar

Advertisement
Uggah (tengah) ketika melawat tapak rumah Charles (kiri) yang musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 28 Mac lalu. Turut kelihatan Dr Richard (kanan).
Uggah (tengah) ketika melawat tapak rumah Charles (kiri) yang musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 28 Mac lalu. Turut kelihatan Dr Richard (kanan).

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan menentukan jumlah bantuan diberi kepada mangsa kebakaran untuk membina semula rumah atau rumah panjang  yang musnah akibat kebakaran pada kadar segera.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jawatankuasa itu akan memutuskan jumlah bantuan yang akan diberikan kepada setiap mangsa sebaik sahaja menerima laporan daripada  Pejabat Residen (masing-masing).

"Pejabat Residen akan membuat penilaian berapa jumlah yang perlu kerajaan bantu. Selepas menerima laporan ini, jawatankuasa di JPBNS akan membuat keputusan dalam tempoh seminggu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran Charles Tegalang di Nanga Tiga, Layar, Betong. 

Dalam insiden yang berlaku pada 28 Mac lalu, Charles kehilangan rumah yang turut menempatkan kedai runcit miliknya. 

Mengulas mengenai jumlah bantuan yang akan diberikan kepada setiap mangsa, Uggah berkata kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) ada menyediakan bantuan bagi tujuan itu dengan jumlah maksimun RM70,000.

"Ini terpakai kepada setiap rumah individu atau unit individu rumah panjang.

"Tetapi sudah tentu Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri akan menghulur bantuan awal seperti memberi keperluan asas harian kepada mangsa," katanya.

Hadir sama melawat Charles dan keluarga, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu.
 

  • oleh
  • Advertisement