Anda di sini

Had laju jalan persekutuan dikurangkan 10km/j sempena Aidilfitri

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Had laju di jalan persekutuan di seluruh negara dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j) bermula 8 hingga 14 April sempena perayaan Aidilfitri.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh itu, had laju di jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j berbanding 90km/j.

Kementerian itu memaklumkan pengurangan sementara had laju selama seminggu berkenaan antara langkah keselamatan dan pemantauan diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya berdasarkan data sejarah kemalangan jalan raya semasa musim perayaan.

Kenyataan itu menyebut KKR pada tempoh sama menjalankan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Aidilfitri ini.

Pihak konsesi jalan persekutuan juga diberitahu untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali bagi kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.

“Bagi lebuh raya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula dari 1 hingga 17 April 2024.

“Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutama di jalan persekutuan,” menurut kenyataan itu. -- BERNAMA
 

Advertisement