Anda di sini

Erdogan kalah pilihan raya tempatan

Advertisement


CHP kini menjadi pilihan rakyat Turkiye setelah dua dekad AKP berkuasa

Imamoglu disertai isterinya Dilek Imamoglu (dua kiri) dan ahli keluarga yang lain di atas pentas ketika meraikan kejayaan di luar bangunan utama majlis perbandaran di Istanbul susulan pilihan raya tempatan di seluruh Turkiye, kelmarin. - AFP
Imamoglu disertai isterinya Dilek Imamoglu (dua kiri) dan ahli keluarga yang lain di atas pentas ketika meraikan kejayaan di luar bangunan utama majlis perbandaran di Istanbul susulan pilihan raya tempatan di seluruh Turkiye, kelmarin. - Gambar AFP

ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan kelmarin akur dengan kekalahan dalam pilihan raya tempatan dan menyatakan keputusan itu titik perubahan bagi partinya setelah dua dekad berkuasa.

Sebahagian keputusan dari seluruh negara dengan 85 juta penduduk itu menunjukkan kemajuan besar Parti Republik Rakyat (CHP) yang mengalahkan Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) pimpinan Erdogan.

Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu, 52, daripada CHP, yang mendapat mandat semula selepas hampir semua kotak undi dibuka, menyatakan di hadapan para penyokongnya yang teruja: "Esok adalah hari musim bunga yang baharu bagi negara kita."

Keputusan akhir dijangka dikeluarkan lewat semalam oleh suruhanjaya pilihan raya.

Erdogan, 70, telah melancarkan kempen peribadi gilang-gemilang untuk merampas kembali Istanbul sebagai datuk bandarnya, namun inflasi berleluasa dan krisis ekonomi menjejaskan keyakinan terhadap AKP.

Orang ramai membanjiri dataran di luar ibu pejabat Istanbul CHP sambil melambaikan bendera dan menyalakan jamung untuk meraikan keputusan tersebut.

Selepas membuang undi, Imamoglu muncul dengan disambut tepukan gemuruh dan laungan 'Segalanya akan menjadi baik', slogan yang digunakannya ketika pertama kali merampas jawatan tersebut daripada AKP pada 2019.

Tokoh terbabit dilihat sebagai pesaing utama AKP menjelang pilihan raya presiden pada 2028.

Di Ankara, Datuk Bandar Mansur Yavas daripada CHP melaungkan kejayaannya di hadapan para penyokong, mengesahkan "pilihan raya telah tamat, kita akan terus berkhidmat untuk Ankara".

"Mereka yang tidak dipedulikan selama ini telah menghantar mesej jelas kepada mereka yang memerintah negara ini," tambahnya.

Penyokong CHP turut meraikan kejayaan di Izmir, bandar ketiga terbesar Turkiye, selain di bandar selatan Antalya.

Beberapa kubu kuat AKP juga berisiko kalah, menurut keputusan awal.

"Para pengundi telah memilih untuk merubah wajah Turkiye.

"Mereka mahu membuka pintu kepada iklim politik baharu di negara kita," kata pengerusi CHP Ozgur Ozel.

Erdogan mengakui kekalahan dalam ucapan kepada para penyokong di ibu pejabat AKP.

"Malangnya kita tidak dapat memperolehi keputusan yang kita ingini," katanya di hadapan penyokong yang sugul.

"Kita sudah tentu akan menghormati keputusan negara.

"Kita tidak akan berdegil, bertindak mengatasi keinginan negara dan mempertikai kuasa negara," tambahnya.

Erdogan telah menjadi presiden sejak 2014 dan memenangi penggal baharu pada Mei tahun lepas.

"Semua orang bimbang tentang kehidupan harian.

"Krisis ini menenggelami kelas pertengahan.

"Kami terpaksa merubah semua tabiat kami.

"Jika Erdogan menang, keadaan akan menjadi lebih buruk," kata penduduk Istanbul Guler Kaya, 43, yang ditemui di pusat pengundian.

Pilihan raya berlangsung ketika negara dicengkam kadar inflasi 67 peratus dan kemerosotan nilai matawang lira daripada 19 untuk sedolar kepada 32 dalam masa setahun.

Pertelingkahan dilaporkan di wilayah tenggara majoriti Kurdis yang menyebabkan seorang maut dan 12 cedera, menurut pegawai tempatan.

Kira-kira 61 juta orang layak mengundi datuk-datuk bandar di 81 wilayah, selain anggota majlis wilayah dan pegawai tempatan lain. - AFP

Advertisement