Anda di sini

Datuk bandar barat Mexico ditembak mati

Advertisement
 


KOTA MEXICO: Seorang datuk bandar mati ditembak di sebuah restoran di Mexico pada Sabtu lalu, kata pejabat pendakwa raya wilayah kelmarin.

Guillermo Torres, 39, dan anak lelakinya, 14, diserang di sebuah restoran di Morelia, ibu kota negeri barat Michoacan, namun anaknya terselamat.

Mangsa dipilih sebagai datuk bandar perbandaran Churumuco di Michoacan sebagai ahli Parti Revolusi Institusi pada 2022, tetapi baru-baru ini keluar parti dan membuat kenyataan terbuka menyuarakan simpatinya kepada parti Morena yang kini memerintah, menurut media tempatan.

Pilihan raya presiden dijangka pada 2 Jun, di mana 20,000 jawatan tempatan dan persekutuan serta seluruh Kongres akan diundi.

Dua calon datuk bandar telah dibunuh pada 26 Februari lalu iaitu Miguel Angel Zavala Reyes daripada parti Morena dan Armando Perez Luna daripada Parti Tindakan Nasional.

Antara 4 Jun 2023 dan 26 Mac lalu, 50 orang telah dibunuh dalam episod keganasan pilihan raya, 26 daripadanya menyasarkan jawatan tinggi, menurut laporan oleh badan pemikir Laboratorio Electoral.

Negeri Michoacan, pengeluar utama avokado Mexico, merupakan tempat pertempuran berterusan antara kumpulan jenayah terancang, termasuk Kartel Generasi Baharu Jalisco yang mempunyai pengaruh besar. - AFP 

Advertisement