Anda di sini

Atasi pencemaran plastik secara lestari

Advertisement

kch-ub010424-mm-nik
(edited) 

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang

 Tindakan Kolaboratif dan Penyelesaian Inovatif hari ini.
Nik Nazmi (kiri) bersama tetamu lain ketika melawat reruai pameran pada Program Laluan Ke Neutraliti Plastik: Tindakan Kolaboratif dan Penyelesaian Inovatif hari ini.

Oleh Marlinda Mardzuki

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengkaji keperluan untuk menggubal undang-undang bagi mengatasi masalah pencemaran plastik secara lebih lestari.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dasar di peringkat nasional memang ada namun ia banyak bergantung kepada pelaksanaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi, sebab itu kita di kementerian sedang meneliti semula sama ada terdapat ruang untuk melihat perkara ini di peringkat nasional.

“Ia agar kita dapat melaksanakannya (undang-undang) dengan lebih berkesan dalam usaha kita mengatasi masalah pencemaran plastik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Laluan Ke Neutraliti Plastik: Tindakan Kolaboratif dan Penyelesaian Inovatif anjuran Yayasan Hijau dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.

Nik Nazmi berkata, buat masa sekarang kajian berhubung perkara itu masih lagi di peringkat awal.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar bagi menangani isu pencemaran plastik sebelum ini.

Namun ujarnya, pendekatan secara sukarela daripada orang ramai dan pihak PBT agak perlahan dan plastik masih digunakan.

“Kita faham tempat yang berbeza mempunyai konteks yang berbeza, apa yang boleh dilaksanakan misalnya di Sarikei (Sarawak) atau di Pensiangan (Sabah) atau apa yang boleh dilaksanakan di Kuala Lumpur mungkin berbeza dari segi kepantasan. 

“Tetapi saya rasa sudah beberapa tahun negeri pertama yang bermula dengan caj pencemaran untuk beg plastik ialah Selangor dan Pulau Pinang sejak 2009 atau 2010, itu dah lebih 10 tahun lalu. 

“Jadi, saya fikir kita perlu melihat semula sama ada kita kini perlu bergerak di peringkat nasional bersama-sama untuk mengatasi masalah pencemaran plastik, kerana anda tahu masalah ini semakin berleluasa,” katanya.

Tambahan pula, ujarnya kuantiti plastik di sungai dan lautan di negara ini telah menyebabkan isu lain seperti banjir dan mikroplastik di dalam rantai makanan.

Katanya, antara cabaran besar di Malaysia untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna adalah sektor tidak formal seperti di bazar Ramadan dan pasar malam.

“Sektor ini kita tahu penggunaan plastiknya sangat meluas, oleh itu kita perlu mencari penyelesaian sesuai untuk menangani masalah sedemikian.

"Seperti di Kuala Lumpur, mereka mempromosikan penggunaan plastik biodegradasi. Tetapi kos plastik dan yang berkaitan akan menjadi masalah.

"Justeru, kita akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini," kata beliau.

Terdahulu, program Laluan Ke Neutraliti Plastik bertujuan menghimpunkan suara terkemuka dalam kelestarian alam sekitar untuk menangani isu sisa plastik dan menggesa para peserta untuk menyumbang kepada masa depan yang mampan.

Advertisement