Anda di sini

Usaha promosi lagu Iban dan penyanyi tempatan harus digalakkan

Advertisement
Andenson (dua kanan) bersama Rickie menunjukkan klip video lagu 'Bekikis Bulu Betis' di telefon bimbit selepas sidang akhbar mengenai pengumuman pembikinan klip video terbaharu lagu itu, pada Khamis.
Andenson (dua kanan) bersama Rickie menunjukkan klip video lagu 'Bekikis Bulu Betis' di telefon bimbit selepas sidang akhbar mengenai pengumuman pembikinan klip video terbaharu lagu itu, pada Khamis.

MIRI: Usaha untuk mempromosi lagu-lagu berbahasa Iban dan penyanyi tempatan patut digalakkan demi membangunkan industri hiburan, seni kreatif dan persembahan di Sarawak. 

Perkara itu dinyatakan oleh Andenson Dato Paran, penggiat industri hiburan, seni kreatif dan persembahan tempatan dalam sidang akhbar di sini, pada Khamis.

“Pihak kami sedang berusaha untuk merealisasikan perkara ini kerana nasib dan masa depan industri hiburan, seni kreatif dan persembahan di Sarawak berpotensi untuk berkembang dengan pesat,” kata beliau.

Menurutnya lagi, inisiatif yang dirancang dan akan dilaksanakan pihak swasta juga bergantung pada sokongan padu daripada orang ramai termasuk syarikat syarikat swasta yang ingin menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

“Tidak dapat dinafikan bahawa golongan penghibur dan penyanyi tempatan memerlukan bantuan dan sokongan padu daripada masyarakat termasuk sektor swasta supaya mereka dapat mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi,” kata Andenson yang merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan BMAS Holdings Sdn Bhd yang terdiri daripada Borneo MA Smart Vendors Sdn Bhd (BMAS), BMAS Construction Sdn Bhd dan BMAS Entertainment Enterprise.

Sebagai permulaan katanya, kumpulan syarikat beliau telah bekerjasama denganpenyanyi Iban tempatan Rickie Andrewson dalam pembikinan klip video terbaru lagu popular 'Bekikis Bulu Betis'.

Dalam perkara yang sama katanya, syarikat beliau akan berusaha untuk membuat dan menerbitkan sebuah lagi video klip lagu tersebut yang akan menerapkan semangat 'Segulai Sejalai' dan perpaduan dalam masyarakat di Malaysia.

“Semua usaha syarikat kami ini ialah untuk membantu rakan rakan penghibur tempatan dan juga untuk mempromosikan lagu lagu mereka di persada seni negara dan juga di rantau ini,” jelasnya. 

Tambah beliau, pihak syarikat juga akan membuat beberapa klip video lagu tempatan lain pada masa hadapan di mana orang ramai dijemput untuk memberi sokongan terhadap inisiatif ini dengan memberi tanda suka dan berkongsi kandungan di laman media sosial.

“Dengan sokongan padu daripada orang ramai dan juga syarikat swasta, inisiatif kemasyarakatan seperti ini bakal memberi manfaat kepada semua yang terbabit dalam industri hiburan kita terutama golongan muda yang memerlukan peluang untuk mengasah bakat seni mereka,” kata beliau.
 

  • oleh
  • Advertisement