Anda di sini

Tiga Peringkat Kembara Kerohanian dalam Warna Sebenar Tak Dapat Disukat

Advertisement
 

NOTE: Disiarkan pada 31 Januari 2022

Oleh Zainal Abidin Hj. Suhaili (Abizai)

(Sasterawan Negeri Sarawak)

Pendahuluan

PUISI merupakan salah satu genre sastera yang mengungkapkan pemikiran, perasaan dan pengalaman dengan keindahan bahasa dan makna. Puisi terhasil daripada pengalaman puitik penyair selepas berlakunya interaksi antara pengalaman batin penyair dengan dunia luar. Tasawuf pula ialah bidang ilmu tentang jalan kerohanian untuk menyucikan hati, akhlak, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mencari keredaan-Nya.

Puisi sufi dan kerohanian yang muncul pada zaman Bani Umaiyah merupakan suatu bentuk sastera Islam yang mengungkapkan hakikat pengalaman kerohanian melalui cinta abadi kepada Allah SWT. Melalui karya berbentuk sebegini, perbezaan bidang tasawuf dan puisi menemui titik pertemuan. Menurut Samsina Abd. Rahman (2021:37), kedua-dua penyair dan ahli sufi menimba penghayatan daripada sumber hampir sama, bertolak dari alam dan dalaman diri yang dikenali sebagai alamiah (puisi) mahupun rohaniah (tasawuf). Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menggarap jiwa kepenyairan dan rohani kesufian.

Abdul Hadi W.M. (1987: vi) pula mengatakan bahawa puisi sufi sebagai penghubung antara tradisi keagamaan dengan tradisi sastera, hal itu dimungkinkan bukan sahaja kerana sebahagian daripada penyair sufi itu ialah para ulama seperti Rumi, Jami, Hamzah Fansuri dan lain-lain. Namun juga kerana pengalaman dan penghayatan estetik yang memainkan peranan penting dalam usaha mereka untuk mencapai Tuhan, pada puncaknya mempunyai kualiti religi dan mistik kerana menyentuh dunia spiritual dan transenden.

Menurut Junaid al-Baghdadi (2006: 6), tasawuf adalah menjauhkan diri daripada akhlak yang tercela dan membentuk akhlak yang terpuji dari kaca mata Islam. Menurut M. Zain Abdullah pula (1995: 5), sebahagian ahli tasawuf mengatakan bahawa permulaan tasawuf ialah ilmu pengetahuan, pertengahannya kekal mengerjakan amal ibadat, dan akhirnya mauhibiyah, ertinya pemberian Allah SWT.

Dalam ilmu tasawuf, seseorang itu perlu menempuhi tiga peringkat perjalanan, iaitu takhalli, tahalli dan tajalli untuk menyingkap hijab yang membatasi diri dengan ilmu ketuhanan dan menjadi insan yang sentiasa dalam pandangan Allah. Tulisan ini akan menyingkap tentang perkara berkenaan yang diungkapkan dalam beberapa buah puisi kerohanian, penyair Basri Abdillah dalam kumpulan puisi Warna Sebenar Tak Dapat disukat (2021) terbitan Persatuan Penulis Utara Sarawak dan SYFE Management Sdn. Bhd.

Tiga Peringkat Perjalanan Kerohanian dalam Puisi

Takhalli bermaksud membersihkan hati dalam usaha membaiki diri daripada sifat-sifat tercela serta maksiat zahir dan batin. Dasar takhalli ialah firman Allah SWT:

“Sesungguhnya berbahagialah orang yang mensucikan jiwanya dan

Sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”

(As-Syams: 9-10)

Dengan hati yang jernih dan bersih, nafsu dapat ditundukkan. Menurut Qassim Ghani (2019: 70), takhalli adalah memalingkan diri daripada amalan-amalan yang boleh menjauhkan seseorang hamba daripada Allah SWT. Antara sifat-sifat tercela yang mencemari hati manusia ialah sombong, hasad dengki, riak, ujub, takabbur, bakhil, mencintai harta dan dunia secara berlebih-lebihan dan bermewah-mewah, buruk sangka, membangga diri, pemarah, khianat, mengumpat, berdusta dan sebagainya.

Ikhtiar pembersihan jiwa ini diungkapkan oleh Basri Abdillah dalam puisi, “Busa Pencuci Hati” (2021: 59) :

Dapatkah diisi

ke dalam baldi kalbu

dengan pakaian baharu

jika celana dan baju

yang telah terpalit debu

sarat kekotoran dahulu

masih melekat berbau

bersisa dan berbaki

tidak habis dicuci

oleh busa pencuci hati.

Walau telah disental banyak kali

sehingga terkeluar segala daki

namun setebal apapun tembok keluli

dapat ditoreh

sekeras manapun besi

boleh disisih

jika tegar jelaga dibasuh rapi

oleh busa pencuci hati.

Menurut penyair, usaha pembersihan hati ini perlu dilakukan dengan gigih dan bersungguh-sungguh biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hati yang sakit dan kotor amat merbahaya dan cenderung untuk tunduk dan akur kepada perintah nafsu mazmumah (tercela). Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (2008: 67) berpesan, jika engkau ingin mendapatkan kebahagiaan hakiki, maka kendalikan nafsu untuk menurut tujuanmu. Tundukkan ia untuk mentaati-Nya. Sesungguhnya nafsu itu ibarat penghalang dirimu kepada Allah SWT. Kemungkaran dan bahaya nafsu tercela ini dinyatakan penyair melalui puisi “Mungkar” (2021: 34) :

Jika terasa suci mulia

pada nafsu hebat bertakwa

periksa cermin jiwa

ada bingkai ikhlas

telah patah

kaca jariah

telah pecah

melukakan amal ibadah

nurani parah berdarah

jika lidah api takabur

terus menjilat hancur

obor sombong lebur

nahi dan mungkar

tak akan kendur.

Segala kekotoran dan penyakit hati tersebut merupakan tembok tebal yang membatasi hamba dengan Tuhan. Maksiat zahir dan batin perlu dibersihkan dahulu. Melepaskan diri daripada jerat sifat tercela agar dapat mengisi diri dengan sifat-sifat yang terpuji untuk menggapai kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat.

Peringkat pengisian dan penghiasan diri dengan sifat-sifat terpuji ini dikenali sebagai tahalli. Tahalli pada pandangan al-Kurdi (2019: 86), iaitu menghiasi diri dengan sifat-sifat yang diredai dan akhlak mulia sehingga teguh dalam keadaan tersebut. Antara sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang harus mengisi hati manusia ialah taubat, ikhlas, syukur, sabar, reda, tawakal, mahabbah, zuhud, mengingati mati dan lain-lain lagi.

Manusia diciptakan tanpa bersifat sempurna dan tidak mampu lari daripada melakukan kesalahan dan dosa. Allah SWT mahu memperlihatkan bahawa hanya Dia Yang Maha Sempurna. Tiada yang lain mampu menghapuskan noda, mengampuni dosa-dosa, menutup aib dan cela, melenyapkan duka nestapa dan menyelamatkan daripada musibah selain daripada-Nya. Menurut al-Qusayiri (1998: 116), taubat adalah awal tempat pendakian orang-orang yang mendaki dan maqam pertama bagi sufi pemula. Hakikat taubat menurut erti bahasa ialah kembali. Kembali daripada sesuatu yang dicela, menuju sesuatu yang dipuji dalam syariat.

Taubat merupakan jalan menuju keselamatan, kesejahteraan dan kebenaran untuk berhenti daripada melakukan dosa serta kembali kepada Allah SWT. Menerusi puisi “Mantera Sakti”, penyair membicarakan tentang taubat:

Saat bulu riyak terasa penuh

kepak bongkak tumbuh

paruh mematuk angkuh

niat terbang tinggi

nampak di kaki

Ikhlas yang membisu

di sebalik pintu kalbu

telah terbakar silu

andai ini berlaku

lekas-lekas masuk kembali

ke sarang diri

tutupkan jendela

padamkan pelita

butakan mata kasar

pekakkan halwa telinga

bukakan pintu hati

walau sekadar seinci

asapkan dengan mantera

dan zikir sakti.

Tekad, kesungguhan dan ketulusan untuk bertaubat serta tidak mengulangi lagi segala dosa dikiaskan penyair dengan perbuatan ‘kembali ke sarang diri’, ‘tutupkan jendela’, ‘padamkan pelita’, ‘butakan mata kasar’ dan ‘pekakkan halwa telinga.’ Taubat ibarat ‘mantera dan zikir sakti’ yang menyucikan hati.

Manusia yang telah mengosongkan jiwa daripada sifat-sifat tercela akan terisi hatinya dengan segala perbuatan dan tindakan berdasarkan niat ikhlas. Ikhlas merupakan dasar atau tapak yang perlu diambil kira dalam melakukan amalan serta untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Menurut al-Junaid (2006: 6-7), ikhlas adalah melakukan sesuatu perkara semata-mata kerana Allah dalam apa-apa juga tindakan. Ruwain (2006: 7) pula menyatakan bahawa ikhlas adalah menganggap perbuatan itu bukan daripada diri sendiri (iaitu dengan menganggap setiap perbuatan yang dilakukan sebenarnya daripada Allah SWT dan bukannya hasil daripada usaha sendiri). Inti pati ikhlas ini dibicarakan Basri Abdillah dalam puisi “Ikhlas 1”:

Sebening kolam kalbu yang jernih

bisa membersih

gumpalan rebak hitam menjadi putih

Saat rasa berdolak-dalih,

Sebilah akal yang tajam

akan membelah bukuan suram

di jalan kelam

Saat mata kian terpejam.

Bagi penyair, ikhlas akan menciptakan ‘sebuah kolam kalbu yang jernih dan sebilah akal yang tajam’ yang mampu ‘membersih’ dan ‘membelah’ niat-niat jahat yang tersembunyi.

Ketika jiwa sudah bersih daripada sifat-sifat tercela dan diisikan dengan sifat-sifat terpuji, maka seseorang hamba berpeluang menerima anugerah tajalli Allah SWT. Syeikh Daud al-Fathani (1995: 37) menyatakan bahawa tajalli bererti barang yang dibukakan bagi hati seseorang salik tentang beberapa nur (cahaya) yang datang daripada Yang Ghaib. Al-Amawi pula menjelaskan tajalli bersifat dengan sifat-sifat rabbani yang sebenar. (2019: 92).

Tajalli merupakan kurniaan Allah SWT dan bukannya melalui jalan pembelajaran dan kekuatan akal pemikiran. Tajalli merupakan sebuah rasa yang bersifat kerohanian. Hanya mampu dimengerti oleh orang-orang yang pernah merasai dan mengalaminya. Secara asas, tajalli ialah perasaan rasa bertuhan, rasa dipandang dan diawasi. Hati seakan-akan celik dan nampak segala kebesaran Allah SWT.

Cinta, harapan dan penggantungan hati hanyalah pada Yang Maha Wujud. Apa-apa sahaja yang datang dalam kehidupan, sama ada baik atau buruk dihadapi dengan tenang dan reda kerana menyedari hakikat bahawa segala-galanya merupakan pemberian Allah SWT. Hal ini diungkapkan Basri Abdillah dalam puisi, “Pencinta Sejati.” (2021: 13):

Pencinta sejati

setia memuja kasih

pada yang satu

yang wajib dipandang

oleh hati nan jernih

yang wajib dinikmati

oleh lidah kalbu.

Dengan hati jernih

pacar dipilih

tiada dua daripada berjuta kasih

dengan lidah kalbu

sedap rasa tiada tara

dengan apapun menu.

Pada hati jernih

tersergam rahmah bashirah

untuk mengenal hakikat musyahadah

pada lidah kalbu

mencanak baitul jazbah

buat merasa cinta mahabbah.

Penutup

Puisi-puisi yang telah dibicarakan di atas membawa pengalaman kerohanian dalam perjalanan atau kaedah membersih hati dan menjinakkan nafsu (takhalli), menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) dan menerima kurniaan Tuhan setelah mengerjakan amal soleh (tajalli). Hal yang sedemikian tidak mungkin dapat dituliskan secara mendalam dan berkesan sekiranya penyair tidak melalui pengalaman kerohanian dan mistik itu sendiri. Puisi sufi telah menjadi jambatan yang menghubungkan alam tasawuf, dunia sastera dan para pembaca.

Pengalaman kerohanian tersebut sukar ditafsirkan dan dikongsi kerana sifatnya yang simbolik dan penuh rahsia. Puisi sufi mampu menghampiri, biarpun tidak mungkin terungkap semua kerana ada bicara rasa rahsia yang mustahil dapat diterjemahkan kepada kata-kata. Begitu juga, tidak sepenuhnya mampu difahami secara zahir atau harfiah oleh khalayak pembaca umum.

Walau bagaimanapun, semua harus dikembalikan kepada Allah SWT. Manusia tidak mungkin mampu untuk menjadi dekat kepada-Nya, apalagi untuk mengenal-Nya serta mengetahui ilmu ketuhanan tanpa kehendak dan izin-Nya juga. Manusia dengan segala keterbatasan dan kekurangan tidak akan mampu mengenal Allah SWT jika bukan Dia sendiri yang memberitahu melalui para Rasul dan kitab-kitab-Nya. Hakikatnya, untuk makrifat kepada Allah SWT, hanya dengan-Nya juga, iaitu melalui petunjuk, hidayah dan kehendak-Nya.

 
 
Advertisement