Anda di sini

MENYINGKAP PENGALAMAN PUITIK DALAM WAYANG SANG PETUALANG

Advertisement
 

NOTE: Disiarkan 5 Julai 2021

Oleh: Zainal Abidin Haji Suhaili (Abizai)

Pendahuluan

Pengalaman merupakan bahan dasar dalam penghasilan sajak dan menjadikan sajak lebih nyata dan tidak terperangkap dalam jaringan imaginasi semata-mata. Penyair memilih diksi yang sesuai dan sejajar dengan idea dan pengalaman yang ingin diketengahkan.

Peristiwa dan pengalaman ketika berhadapan dengan realiti harus dimaknai dengan secara langsung mengalami sendiri, melihat peristiwa atau realiti yang dialami orang lain. Pengalaman orang lain yang mempunyai nilai makna serta sejarahnya tersendiri juga dapat dikutip melalui cerita kawan-kawan, pembacaan, mendengar lagu dan menonton filem. 

Sajak mampu memberikan pengalaman baharu kepada para pembaca dan merupakan ungkapan fikiran serta perasaan penyair dalam menciptakan sebuah dunia berdasarkan pengalaman lahir dan batin yang dilaluinya. Sajak berupaya menyampaikan sesuatu dengan cara yang lain serta berbeza daripada kebiasaan. Memperkatakan secara jujur tentang pengalaman yang biasa melalui sudut pandangan dan pengucapan yang luar biasa kerana setiap pengalaman memiliki keunikan dan keistimewaannya.

Menurut Muhammad Haji Salleh dalam bukunya, Pengalaman Puisi (1984: 55), apabila penyairnya jujur kepada keistimewaan pengalaman, kepada siratan fikiran dan kepenuhan perasaannya, kita sering menemui keunikan tema. Setiap penyair mempunyai caranya, sikapnya dan ekspresinya sendiri. Jikalau dia membenarkan semua hal ini dimanfaatkan untuk karyanya maka kita akan menemui pengalaman-pengalaman yang memperlihatkan bekas peribadinya. Keunikan inilah yang memperkaya pembaca dan sekali gus penyairnya juga.

Interaksi di antara pengalaman batin penyair dengan dunia luar  membentuk pengalaman puitik. Saini K.M. dalam bukunya, Puisi dan Beberapa Masalahnya (1993: 95), mengatakan bahawa pengalaman puitik merupakan pengalaman yang instens (kental, pekat dan mentubi) tentang sesuatu perkara.

Fikiran dan perasaan penyair bergumul hebat dengan realiti. Ia perlu melepasi tahap saringan, renungan, penghayatan dan kematangan agar penyair menyedari dan memahami hakikat makna sebenarnya. Segala pengalaman yang bersifat peribadi kemudian menjelma sebagai pengalaman objektif.

Acep Zamzam Noor pula menerangkan dalam bukunya, Puisi dan Bulu Kuduk (2011: 251) bahawa jika seseorang mengalami kesedihan, keterharuan, keterpesonaan, ketertarikan yang kuat atau situasi yang emosional, yang kemudian membawanya ke dalam suasana yang instens dan khusyuk. Di tengah intensitas dan kekhusyukan itulah, biasanya hadir kata atau frasa yang tidak diduga-duga sebelumnya. Kata dan frasa tersebut seolah-olah muncul begitu sahaja daripada alam bawah sedar. Itulah indikasi seseorang yang mengalami pengalaman puitik.

Tulisan ini akan membicarakan tentang pengalaman puitik penyair Sarawak yang dimuatkan dalam antologi sajak, Wayang Sang Petualang terbitan Persatuan Penulis Utara Sarawak (2021) dan Syfe Management. Antologi ini diterbitkan bersempena dengan sambutan ulang tahun Ke-40 penubuhan Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA).

Memuatkan sebanyak 117 sajak tulisan 31 orang penyair antaranya ialah Jeli Bohari Biha, Benedict Talip, Wiiliam Chan, Pharo Abdul Hakim, Hipani Alwi, Poul Nanggang, Zaibiee, Basri Abdillah, Sriwati Labot, Jaya Ramba, Piee Ling, Man Seliman, Zaini Bilong, Maliah Adenan, Frankie Latit, Juni Jon Ajinoor, Ilya Alias, Azrinna Jamahari, Mozaza, Helena Henry Lajang, Clariessa Kesulai dan lain-lain lagi. Para penyair ini datang daripada pelbagai latar belakang dan generasi. Perbezaan latar belakang dan generasi tersebut telah menghasilkan pengalaman luaran dan dalaman yang beraneka untuk diketengahkan dalam sajak.

Banyak pengalaman penyair dalam antologi sajak ini menarik untuk disingkap dan dibicarakan tetapi disebabkan keterhadan ruang, hanya lima buah sajak sahaja telah dipilih sebagai bahan perbincangan.

Pengalaman Puitik dalam Sajak

Sajak yang dihasilkan oleh para penyair bukan lahir daripada keinginan untuk sekadar bermain kata-kata. Ia menjelma daripada renungan dan penghayatan mereka yang hadir sebagai individu, anggota masyarakat setelah melihat, mendengar, merasa dan menjiwai pelbagai peristiwa serta suasana lalu mencernakannya dalam bentuk kata-kata yang mewakili perasaan, pemikiran, pengalaman, kritikan, pandangan dan pegangan hidup mereka.

Pengalaman melihat seorang gelandangan yang mengharapkan sisa makanan sebagai pengisi perut telah memberikan inspirasi kepada Frankie Latit untuk menulis sajak “Merdeka Masih Jauh” (2021: 47). Dalam rangkap kedua dan ketiga, penyair mengungkapkan:

Dengan badan kurus kering

ditutupi baju compang-camping

kulihat ia mampir ke beberapa meja

diduduki penghuni asing penuh selesa

tangannya tak henti ditadahkan

sesekali sempat menyuap sisa makanan

tinggalan orang di atas pinggan

tanpa menoleh kiri dan kanan

Jiwa penyair amat terkesan melihat peristiwa berkenaan sehingga merenung jauh tentang hakikat kemerdekaan tanah air yang sebenarnya. Benarkah merdeka telah sempurna jika ada warganya yang hidup susah dan merempat, umpama menumpang di negara sendiri?  Pertembungan antara kenyataan sekarang dengan rasa cinta mendalam pada negara telah menyebabkan pengalaman berkenaan muncul ke dalam bahasa yang puitik. Menjelmalah ungkapan padat tetapi berisi seperti dalam rangkap akhir sajak ini:

kuluncurkan lemah keluh

merdeka masih jauh.

Mozaza pula merenungi pengalamannya menjadi penghuni daerah Mukah melalui sajak “Perasaan yang Tak Lengkap” (2021: 114-115). Biarpun hanya sementara di sana tetapi banyak kenangan pahit manis yang dialami lantas meninggalkan kesan mendalam. Penyair mengungkapkan:

Bertemumu,

pengembaraan yang penuh tanda tanya

di sebalik kesempurnaanmu

aku harus pergi dahulu

lalu tak sempat mencintaimu.

Kerinduanku padamu lebih dalam

daripada lautan

yang airnya tersejat di langit

menjadi gumpalan-gumpalan awan

menurunkan rintik-rintik hujan

memujukku berteduh di bawah memori

pengkelanaan perasaanku

yang amat tak lengkap di sebuah bandar

dan kuanggap seorang perempuan

paling menawan.

Sajak ini berakar daripada pengalaman peribadi kemudian melalui proses perenungan sehingga menjelma ke dalam bahasa puitik. Penyair berusaha menjalarkan pengalaman puitiknya menjadi milik bersama para pembaca. Penyair mengatakan, walaupun tidak sempat mengenali bandar Mukah secara mendalam tetapi setelah berpisah kerinduannya “lebih dalam daripada lautan/yang airnya tersejat ke langit”. Bagi penyair, Mukah dianggap “sebagai perempuan paling menawan.”

 Pengalaman melihat tingkah pupa dan rama-rama menjentik perasaan dan fikiran Pharo Abdul Hakim sehingga melahirkan sajak “Sang Rama-rama” (2021: 117):

Pupa, jiwa yang lena diselimuti masa

tergantung di ranting kering

menanti waktu menatap mentari.

Esoknya sang rama-rama

mengepak sayap mencumbui bunga

tidak pernah menyesali waktu

jika usia secebis hari yang berlari

segugus malam didakap kelam.

 

Dengan meneliti dan merenung sifat dan tabiat alam, penyair menemui erti kehidupan yang dilayari manusia. Melalui pengalaman puitik, penyair berupaya membaca tanda yang diperikan alam lalu menukang kiasan dan perbandingan antara perjalanan hidup alam dengan manusia. Menjelmalah kata-kata yang kaya makna dan jujur seperti dalam rangkap akhir seperti berikut:

Di sayapnya tersungging rindu

seribu motif sejuta harapan

sang rama-rama itu keindahan

manifestasi kesementaraan

untukku mengerti kembara kehidupan.

Pengalaman melihat bahasa ibunda kembali diperlekeh telah menyebabkan Ilya Alias menulis sajak “Luka Kembali Berdarah” (2021: 65). Pengalaman masa kini dihayati bersama pengalaman atau sejarah masa lalu yang pernah didengar atau dibacanya. Sejarah merupakan kejadian atau peristiwa pada masa lampau yang terkait dengan kehidupan dan amat berharga dan penting untuk manusia menghadapi cabaran zaman kini dan akan datang. Hal ini dinyatakan oleh penyair melalui rangkap kedua dan ketiga sajak tersebut dengan bahasa yang muncul secara wajar akibat daripada pengalaman puitik penyairnya:

Kata nenekku yang renta

Sejarah adalah akar negara.

Serumpun pujangga

memanggilnya harta

dan sekawan mahasiswa

menggelarnya pendeta

Kesedihan mendalam melihat sejarah hitam maruah bahasa ibunda kembali berulang disimpulkan penyair dalam rangkap akhir seperi di bawah:

Luka sejarah kini telah kering

kembali terkopek

berdarah dan mula bernanah

kerana rahim bahasanya

diperkosa.

Basri Abdillah pula menyelami pengalaman rohani yang lebih mendalam ketika menghayati hakikat kewujudan insan dan alam menerusi sajak “Memburu Bayang”. Penyair menggunakan kata-kata singkat dan padat:

Kita terleka

memburu bayang

malam dan siang

hingga terlupa

pada cahaya terang

menyuluh dari belakang.                  

Menurut penyair, manusia terleka mengejar bayang (suatu ciptaan) sehingga lupa kepada cahaya terang (Maha Pencipta) segala. Bayang tidak akan menjelma tanpa cahaya maka sewajarnya manusia kembali mencari cahaya.

Pengalaman kerohanian atau kebatinan juga merupakan sebahagian daripada pengalaman puitik. Kesan daripadanya akan memberikan perubahan kepada seseorang penyair secara zahir dan batin. Meliputi sudut pemikiran dan perasaan sehingga kepekaan indera terbuka untuk merenung dan menghayati alam luaran dan dalaman manusia malah mampu mengenali hakikat alam itu sendiri.

Kesimpulan

Sajak-sajak yang telah dibincangkan di atas memiliki hubungan yang erat dengan pengalaman individu dan pengalaman sosial penyairnya dan akhirnya menjelma sebagai pengalaman puitik. Sajak bukan menjelma dengan sesuatu yang kosong tanpa penghayatan dan perenungan yang jauh dan mendalam serta berakhir tanpa sebarang pengertian.

Penyair memiliki tujuan tertentu dalam menghasilkan setiap sajaknya. Segala pengalaman ingin disampaikan kepada masyarakat berkaitan dengan sesuatu isu atau perkara.  Melaluinya, penyair menyampaikan pemikiran atau gagasan, iaitu perutusan yang mengandungi amanat serta pengajaran.

 
 
Advertisement