Anda di sini

Karangan Mali

Advertisement
 
 

Oleh: Jawa Manggau

HATINYA panas bagai berdiang api. Berkali-kali dia keluar ke ruai dan masuk ke bilik, tidak jenuh seperti kucing mahu beranak. Tidak sabar gayanya mahu bertemu dengan seseorang. Matanya berkali-kali memerhatikan jam dinding bulat yang dibelinya di pasar Betong. Harganya murah tetapi tetap menandakan waktu yang tepat.

      “Pukul berapa sekarang? Sudah jam berapa?” Sudah berkali-kali soalan itu diajukannya kepada Dayut. Janji Rumpau pada pukul 9.00 pagi untuk berjumpa dengannya. Kepala yang sudah beratap seng digarunya berkali-kali walaupun tidak gatal. Rambut kelihatan sudah jarang-jarang. Dia duduk lagi membelakangkan isterinya. Dayut sibuk menyiang ikan kepiat dan palau yang masih segar hasil daripada pukat yang dipasang pagi itu. Sungai Agau masih kaya dengan hidupan sungai, membekalkan makanan. 

      “Alahai, sarapanlah dulu Apai Nyalong! Aku sudah hidangkan kopi dan ubi rebus. Nanti semut pula yang makan gula apong tu,” kata Dayut, bininya. Sudah 35 tahun mereka berkahwin. Lahir tiga zuriat, dua lelaki dan seorang perempuan. Semuanya berpendidikan tinggi dan menjalani kehidupan sendiri di bandar.

      “Tak ada selera aku selagi masalah ini tidak diselesaikan. Aku Tuai Rumah, Rumah Panjang Ngiau. Rumah kita ada hak untuk mempertahankan karangan itu,” katanya meninggikan suara ibarat singa jantan mengaum tetapi bukan memarahi Dayut, cuma geram dan kesal dengan apa yang sedang berlaku. Walaupun sudah memasuki usia senja tetapi badannya masih lagi tegap dan bertenaga, masih pantas melakukan apa-apa saja kerja. 

“Habis tu kamu mahu buat macam mana? Tuai Rumah Luking dan Tuai Rumah Enggum telah membuat keputusan untuk menjual batu kelikir karangan itu. Rumpau, orang kepercayaan YB telah membuat keputusan bersama-sama mereka. Kamu seorang saja, mereka bertiga?” soal Dayut.

        Lama Kumpang terdiam. Memang betul kalau ikut sistem demokrasi suara ramai akan menang tetapi dia tidak akan mengalah. Ikhtiar mesti diteruskan untuk menghalang semua daripada berlaku. Kelmarin dia pergi ke karangan itu untuk menghalang jentera pengorek mengorek batu kelikir di situ. Dua orang pekerja gelap Indonesia, operator jentera itu serba salah. Dihalaunya mereka dengan meninggikan suara barulah mereka beredar.

        “Apa pasal tuai? Ini arahan Rumpau. Gua cari makan, mesin sudah diangkat ke  sini. Kalau tak jadi kerja gua rugi o,” bantah Ah Leong, tauke punya jentera. Jelas terpancar pada mukanya rasa ketidakpuasan hatinya sambil tangan kiri mencekak pinggang. Perutnya yang boroi tidak kena dengan badannya yang pendek. Tangan kanannya mengelus-ngelus kepalanya yang separa botak. Setiap kali Rumpau ada projek besar pasti dia setia bersama-sama sebab semua tender projek kerajaan yang Rumpau dapat dialibabakan kepada Ah Leong. 

        “Itu aku tak peduli, yang penting jangan buat kerja lagi. Nanti aku selesaikan dengan Rumpau. Kalau lu korek lagi aku akan bakar itu mesin!” jawab Kumpang tegas, terikut-ikut dengan budaya kerjanya dahulu sebagai seorang askar. Sudah hampir 10 tahun dia bersara dan menetap di rumah panjang. Oleh kerana dia berkelayakan dan berani bersuara maka penduduk Rumah Panjang Ngiau memilihnya menjadi ketua mereka menggantikan sepupunya yang telah meninggal dunia lima tahun yang lalu. Dahulu sepupunya kurang bersuara. Sejak dia menjadi ketua, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah dilaksanakan di rumah panjang itu. Kehidupan penduduk rumah panjang semakin maju terutama dalam bidang pertanian. Kumpang ibarat jambatan emas yang menghubungkan mereka dengan agensi-agensi kerajaan. Penduduk Rumah Panjang Ngiau bangga dan menghormati dia. Suara-suara keramat yang selalu keluar daripada mulutnya menyebabkan dia kurang disenangi dalam Persatuan Tuai Rumah. Dia lantang mengkritik dan memberi pendapat terutama jika ada sesuatu yang tidak kena di matanya. Dia agak gapil mulut dan tangan.  

      “Kita harus mempertahankan Karangan Mali. Kalau batu-batu di situ dikorek semuanya akan musnah. Ikan, udang, ketam dan hidupan sungai yang lain mungkin akan lesap begitu saja. Aliran Sungai Agau akan menjadi deras. Rumah panjang kita yang di hilir ini akan menerima kesan dan padahnya. Tu, tebing di tanjung rumah ini akan runtuh. Lagipun karangan itu selalu menjadi tempat ikan kepiat dan palau nyaru setiap tahun,” kata Kumpang ketika baum dengan penduduk rumah panjang membincangkan hal itu.

        “Kalau ikut pantang larang bagi kami yang masih berpegang kepada adat lama, harus ada khinzir dikorbankan dan upacara miring. Darah khizir sebagai genselan, nasih tanah untuk meminta kebenaran daripada Petara tanah dan sungai. Karangan tu masih payung menua rumah panjang kita. Ibarat bala lalu dibawa singgah sengaja mengundang kecelakaan. Kalau terkena pada mereka tak apa,” kata Aki Jabing, orang yang paling tua di rumah itu dengan nada kesal.

      “Memang betul Aki Jabing, itu wajib. Walaupun bah besar tapi karangan itu tetap utuh, menjadi penghadang tebing daripada terhakis oleh deras air sungai. Kalau ia dikorek habislah. Kita harus pertahankan demi keselamatan rumah panjang kita,” tambah Latip. Semua penduduk Rumah Panjang Ngiau bulat kata dan suara mempertahankan karangan yang lebarnya lima meter dan panjang 50 meter itu. Selama ini ia tidak pernah diusik.

        “Bukan itu saja masalahnya. Tepi itu tanah aku, yang ke depan lagi tanah Tapa. Mereka bina jalan bawa batu keluar. Tanah kami kena sondol, pokok buah, engkabang, getah habislah. Aku bantah, aku lawan nanti,” kata Sudin mencelah tidak puas hati.

          “Ya, aku juga. Walaupun dia bagi pampasan aku tak akan terima. Sekarang ni pun mereka dah ceroboh tanah itu, bawa jentera masuk,” tambah Tapa.

      “Jam sudah pukul 9.00, mana si Rumpau ni?” bisik hatinya. Digenggamnya penumbuk kerana geram. Sudah sepagi dia menunggu kosong. Pantang sekali dia dibohongi. Hatinya bertambah mendidih. Air kopi dan ubi rebus yang sudah dihidangkan Dayut tidak dijamahnya langsung. Perutnya terasa kenyang walaupun kosong. Dia keluar ke ruai menuju bilik Latip.

      “Ada apa tuai?” tanya Latip.

      “Tak boleh jadi, ikut aku,” kata Kumpang.

      “Pergi ke mana? Kenapa tergesa-gesa?” tanya Latip lagi.

      “Tengok Karangan Mali. Mungkin Rumpau ada di sana. Cepat siap kita pergi sekarang.” Latip menggaru kepala. Hasratnya hendak pergi ke Pasar Spaoh nampaknya terbatal. Dia tidak mahu membantah. Dia tahu isu Karangan Mali lebih penting lagi.

      “Hentikanlah Rumpau!” Teriak Kumpang, ketika melihat Rumpau mengarahkan jentera pengorek melakukan kerja. Kedatangan mereka tidak disedari oleh Rumpau dan Tauke Ah Leong. Rumpau mengarahkan operator mesin itu mematikan enjin. Suasana senyap seketika seperti tidak ada manunsia yang berada di tempat itu. Kicauan burung pun tidak kedengaran, mungkin takut akan bunyi hingar bingar dua buah jentera yang sudah cabuk, memuntahkan asap hitam mencemarkan keharmonian alam. Cuma kedengaran aliran air sungai seakan-akan sayu seperti sudah tahu nasib yang bakal menimpa Karangan Mali. Rumpau dan Ah Leong berbisik-bisik seperti ada sesuatu yang sedang dibincangkan.

        “Kenapa masih berdegil, mementingkan diri sendiri. Fikirkanlah nasib orang lain. Jangan salah guna kuasa. Aku tahu kamu sepupu YB, orang kepercayaan dia. Tidak patut YB mengarahkan kamu membuat benda yang salah. Jangan pentingkan kantung kamu saja. Jangan jadi ikan lampam yang mencari makan di tepi jamban,” kata Kumpau sambil merenung tajam seperti mata helang yang mencari mangsa ke arah Rumpau.

        “Cakap biar berlapik tuai rumah, biar beradab. Jangan membabi buta saja. Mahu tengok orang dulu dengan siapa kamu bercakap. Batu ini aku korek untuk menembok jalan raya ke Rumah Panjai Luking dan Enggum. Untuk pembangunan, bukan suka-suka aku mahu korek,” jawab Rumpau menonjolkan sikapnya yang sering membusungkan dada itu.

      “Ah, kenapa tak beli batu kuari? Ini masih payung menua rumah panjang kami. Aku tahu kamu yang dapat tender bina jalan itu. Jangan ambil jalan mudah, jangan korbankan Karangan Mali ini, jangan rosakkan sungai, jangan bunuh ikan dan jangan bahayakan rumah panjang dan orang-orang aku di hilir sana. Kamu tu buta akal, buta hati. Luking dan Enggum memang setuju. Kamu bagi mereka dedak tapi aku tak mahu dedak. Aku tak pentingkan diri,” tambah Kumpang dengan nada yang tinggi. Rumpau senyap. Ah Leong pun sama. Beberapa bulan yang lepas memang Rumpau pernah menyuarakan harsat itu dan menawarkan imbuhan tapi Kumpang tidak menerima. 

      “Kita balik dulu tauke. Ada lalat di sini, bising. Inilah contoh orang yang menghalang pembangunan,” kata Rumpau sambil beredar.

      “Ah, bagus kamu balik! Aku bukan lalat tapi kamu tu yang lalat cari makan dengan cara kotor. Kamu salah cara untuk laksanakan pembangunan. Kalau kamu masih korek lagi, akan aku laporkan kepada pihak berkuasa nanti,” tambah Kumpang memberi amaran. Mukanya hitam seperti awan mendung hendak menurunkan hujan. Kumpang masih merasakan keadaan masih belum aman lagi. Dia pasti Rumpau dan Ah Leong akan meneruskan kegiatan itu bila-bila masa.

      “Aku bukan penghalang kemajuan tapi harus memikirkan kepentingan orang lain. Jangan disebabkan pembangunan, alam sekitar kita terancam. Usahakan cara lain. Luking, Enggum, aku tak setuju dan membantah keras usaha kamu dan Rumpau mengorek Karangan Mali,” usul Kumpang ketika mesyuarat Persatuan Tuai Rumah. Luking dan Enggum diam. Pengerusi Persatuan Tuai Rumah diam. Satu patah kata pun haram keluar daripada mulut mereka. Kumpang tahu mereka takut akan Rumpau, sepupu YB. Mesti ikut cakap dia. Semua orang dalam persatuan itu macam kerbau diikat hidung, ditarik ke mana-mana ikut saja. Mereka bukan tidak ada pendapat yang bernas tapi takut bersuara. Usul Kumpang tidak berjawab, tersekat malah tidak dibincangkan.

      “Apa macam bos?” tanya Ah Leong.

      “Teruskan saja, tak jadi masalah,” jawab Rumpau tersenyum. Luking dan Enggum ada di situ, turut sama minum air Cap Unta yang dibeli Tauke Leong. Dikeluarkan Rumpau dua sampul surat berwarna kuning dan dicampakkan di depan mereka. Tangkas tangan mereka berdua mencapai sampul itu umpama ikan haruan menangkap umpan. Mulut mereka tersenyum puas, kembang seperti kuntum bunga raya.

        “Ini imbuhan permulaan. Siap projek, aku bagi lagi. Kalau kamu berdua mahu apa-apa bagi tahu Tauke Leong,” kata Rumpau dengan rakus sambil menghisap dan menghembuskan asap vapenya. 

        “Ok bos. Baik hatilah bos ni. Layak jadi pemimpin. Orang macam ni yang rakyat nak, terbaik bos,” kata Enggum, pandai mengambil hati dan memberi pujian. Kembang kempis hidung Rumpau. Dia suka ibarat bajak wangkang makan diangkat.

      “Esok boleh mula lagi tauke. Kumpang tak jadi masalah. Tak ada orang sokong dia,” kata Luking meneran ketika meminum air Cap Unta. Mukanya sudah kemerah-merahan seperti kulit udang yang kena rebus. Lima tin sudah dia habiskan.

        “Rumpau dah mula korek lagi tuai,” kata Latip sambil tergesa-gesa datang ke ruai Kumpang pada pagi itu.

        “Sial, bagai hujan jatuh ke pasir. Patutlah air sungai kelihatan keruh pagi ini. Aku sangka hujan di hulu,” kata Kumpang.

        “Jadi?” soal Latip.  

        “Kumpulkan Sudin, Matip, Tapa dan orang lain ikut kita.” Kumpang mengarahkan Latip. 

          Dari jauh sudah kelihatan beberapa buah lori keluar membawa muatan berlebihan, penuh batu sungai dari jalan tanah yang dibina sementara. Keadaan jalan berbonggol-bonggol dan permukaan tanah lembut menyebabkan keadaan amat berbahaya bila berselisih dengan kenderaan berat itu.

        “Hentikan sekarang, Rumpau!” teriak Kumpang. Mereka memberhentikan kereta Ah Leong ketika hendak memasuki simpang jalan ke Karangan Mali.

        “Aku ada kebenaran. Ini surat premit, YB, DO, polis sudah tandatangan. Kamu tak ada hak halang aku sekarang,” kata Rumpau dengan berlagak seperti orang baharu kaya. Sehelai kertas yang bertulis ditayangkannya di depan Kumpang dan anak-anak buahnya. 

        “Aku tak peduli, aku mahu kepastian dulu. Baik kamu hentikan dulu, esok aku pergi jumpa YB dan DO,” balas Kumpang. Mukanya berubah corak seperti sesumpah bertukar warna seolah-olah tidak mempercayai apa-apa yang diberitahu oleh Rumpau tetapi hatinya pantang patah di tengah.

        “Hentikan dululah. Jangan degil,” teriak beberapa orang anak buah Kumpang. Kelihatan Luking dan Enggum ada di dalam kereta Ah Leong mengarahkan tauke itu untuk meneruskan perjalanan mereka memasuki simpang itu. Latip, Matip dan beberapa orang lagi cuba untuk berbincang dengan mereka jelas tidak dipedulikan. Mereka cuba mengikut kereta itu dari belakang dengan menunggang motosikal tetapi dihalang oleh Kumpang.

        “Tak boleh jadi tuai. Dia tak boleh berbuat sesuka hati dengan hak kita. Tanah aku dan Sudin disondol tanpa kebenaran,” kata Tapa kesal dengan apa yang terjadi.

        “Biarkan dulu. Jangan ikut, bahaya. Jalan itu tak rata, silap-silap lori batu boleh terbalik. Esok aku akan ke bandar jumpa YB dan DO,” nasihat Kumpang kepada anak-anak buahnya.

        “Aku tak puas hati dengan kerja Rumpau mengorek batu kelikir di Karangan Mali. Tanah orang dia ceroboh buat jalan,” beritahu Kumpang kepada YB pagi itu. Dia merenung muka YB seperti meminta kepastian. 

          “Bila? Apa hal dia korek?” Kelihatan YB terkejut.

          “Dia baru mula korek guna menembok jalan ke Rumah Luking dan Enggum. Dia tunjuk permit, YB, DO dan polis tandatangan,” tambah Kumpang lagi.

          “Hah! Bila pula aku tandatangan surat? Kenapalah Rumpau ni selalu menyusahkan aku. Berani dia jual nama aku,” bentak YB dengan nada marah. Duduknya pun tidak tenang di atas kerusi empok itu seperti ada jarum yang mencucuk punggungnya. Sudah beberapa kali telefon Kumpang berdering tapi dia terasa segan untuk menjawabnya di depan YB kerana mereka masih lagi berbincang.

        “Tak apa jawab dulu,” kata YB. Selepas menjawab telefon wajah Kumpang berubah seperti ada sesuatu yang tidak kena berlaku. Lama dia terdiam.

        “Begini YB, orang aku bagi tahu Rumpau dan Tauke Leong kemalangan. Kereta mereka ditimbus batu, lori terbalik. Sekarang ini orang-orang aku masih berusaha mengeluarkan mereka daripada timbunan batu,” kata Kumpang. 

          “Ha, inilah akibatnya kalau orang tamak, langgar undang-undang, suka cakap bohong. Ayuh cepat kita pergi ke sana. Entah apa terjadi pada mereka berdua. Harap-harap selamat,” kata YB dengan nada yang kesal.

          “Aku sudah arahkan supaya kerja mengorek batu di Karangan Mali dihentikan. Polis akan mengambil keterangan daripada mereka selepas keluar dari hospital kelak. Kamu bagi tahu Tapa dan Sudin suruh mereka hitung berapa pokok buah-buahan dan getah mereka yang musnah. Aku akan bayar. Kalau perlu upacara miring untuk meminta ampun kepada Petara, bagi tahu aku. Aku akan salurkan belanja,” kata YB kepada Kumpang.

          “Baik YB,” balas Kumpang. Kelihatan terpancar keceriaan pada wajahnya seperti fajar yang terbit waktu pagi.

          “Aku dengar Luking dan Enggum pun disiasat oleh polis. Keahlian mereka dalam Persatuan Tuai Rumah pun digugurkan, betulkah?” tanya Tapa kepada Kumpang.

          “Ya, aku harap tak ada lagi masalah seperti ini berlaku. Amat penting kita menjaga alam sekitar. Kena hormat alam semula jadi. Kalau nak adakan pembangunan pun jangan korbankan alam sekitar. Karangan Mali tu sudah lama wujud. Walaupun bah dilanda arus deras tapi ia tetap utuh. Ia seakan-akan menjadi perisai melindungi tanah rumah panjang kita daripada terhakis,” kata Kumpang sambil tersenyum menepuk-nepuk bahu Tapa dan Sudin.

           “Kita akan adakan kenduri kesyukuran. YB ada beri kita belanja. Duit yang lebih kita simpan dalam akaun JKKK rumah panjang kita.”

           “Kami berpuas hati dan berterima kasih kepada YB kerana sudah membayar ganti rugi tamanan kami yang musnah. Beginilah pemimpin yang kita nak, tak menyebelahi saudara-maranya. Terima kasih tuai,” kata Tapa seraya menghulurkan tangan bersalaman dengan Kumpang. 

           “Sama-sama. Kita harus bersatu mempertahankan hak kita. Karangan Mali hak kita,” balas Kumpang sambil tersenyum. Hatinya berasa lega kerana Karangan Mali kini selamat. 

Glosari

baum                                                                     mesyuarat

gula apong                                                           gula yang diperbuat daripada nira pokok nipah

ikan nyaru                                                            ikan bertelur

karangan                                                              hamparan batu kelikir di sungai

miring, genselan, nasih tanah                         upacara memuja dewa untuk meminta berkat 

payung menua                                                     kawasan lingkungan 

petara                                                                    dewa

tuai                                                                         ketua

 
 
Advertisement