Anda di sini

Pandelela, Nur Dhabitah digugurkan daripada program RTG

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri disingkirkan daripada program Road To Gold (RTG), sebagaimana diumumkan oleh penyelaras program itu Datuk Stuart Ramalingam.

Menurut beliau, Pandelela dan Nur Dhabitah digugurkan susulan kegagalan mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, baru-baru ini.

“Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Pandelela dan Nur Dhabitah menerima semua sokongan bagi membolehkan mereka menemui semula rentak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dengan penyingkiran kedua-dua penerjun negara, segala peralatan latihan dibiayai RTG seperti platform latihan gim kering baharu, pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu akan menjadi pelaburan jangka panjang bagi memberi manfaat kepada penerjun kebangsaan selepas ini, katanya.

Bagaimanapun Stuart berkata Pandelela dan Nur Dhabitah akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara. - BERNAMA

Advertisement