Anda di sini

Kelab-kelab gergasi di EPL pantau Inzaghi untuk tawar jawatan pengurus

Advertisement
 

LONDON: Liga Perdana Inggeris dikatakan memantau Simone Inzaghi ketika kelab gergasi seperti Manchester United, Chelsea dan Liverpool mula menerokai pilihan untuk mendapatkan jurulatih kelab Serie A Itali, Inter Milan.

Jurulatih berusia 47 tahun itu dikatakan pakar taktik yang sudah menunjukkan kemampuannya sebagai jurulatih ketika membimbing kelab Lazio tetapi tugasnya di Inter menaikkan lagi statusnya sebagai jurulatih berbakat selepas mengubah kelab menjadi salah sebuah kelab paling berbahaya di Eropah.

Inter sekarang berada di landasan memburu kejuaraan Serie A yang ke-20 dalam sejarah kelab dan mereka juga dijangka akan mengintai peluang memburu kejuaraan Liga Juara-Juara.

Inter sudah memenangi kejuaraan Piala Super Itali bulan lepas, kemenangan yang memberikan keuntungan lapan juta euro kepada kelab.

Akhbar Itali, Tuttosports, memperincikan bagaimana Manchester United, Chelsea dan Liverpool sudah mula mengumpul maklumat mengenai Inzaghi, berminat untuk menawarkan jawatan sebagai jurulatih pada akhir musim ini.

Inzaghi, 47, mempunyai kontrak di Inter sehingga Jun 2025 dan menerima gaji 5.5 juta euro semusim termasuk tambah nilai. 

Tawaran dari kelab-kelab Liga Perdana Inggeris mungkin sekitar 8 atau 9 juta euro semusim, jumlah yang sukar dicabar oleh mana-mana kelab lain di Itali.

Barcelona juga difahamkan menyuarakan minat, dengan kelab juga mencari jurulatih baharu ekoran pengumuman Xavi yang akan melepaskan jawatan pada akhir musim ini.

Inzaghi dikatakan gembira di Inter tetapi mahu kontrak baharunya dilanjutkan untuk sekurang-kurangnya sehingga Jun 2027 dan Inter juga dikatakan bersedia untuk terus mengekalkan jurulatih mereka selepas akhir musim ini. — AFP

Advertisement