Anda di sini

Program Akademi Sukan Bola Tampar di SK Kidurong 2 hujung minggu ini

Advertisement
Pelajar UPMKB dan Roslan (duduk enam kanan) merakam gambar kenangan.
Pelajar UPMKB dan Roslan (duduk enam kanan) merakam gambar kenangan.

BINTULU: Program Akademi Sukan Bola Tampar akan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong 2 pada Sabtu dan Ahad ini.

Program itu adalah anjuran pelajar Kursus QKS2120 Bola Tampar (Kumpulan 1) Semester Kedua Sesi Akademik 2023/2024 Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB). 

Penasihat program Roslan Ismail berkata program di bawah Putra Bakti (Just Spike IT Volleyball Academy 1.0) itu merupakan kaedah pembelajaran secara ‘Immersive Face-to-Face’ yang julung kalinya diadakan di Bintulu. 

Katanya, antara aktiviti menarik sepanjang program itu berlangsung adalah ceramah tentang teknik-teknik asas dalam permainan bola tampar dan beberapa aktiviti melibatkan fizikal serta permainan yang membantu untuk mengukuhkan asas-asas ketika bermain bola tampar. 

"Program ini dianjurkan juga disebab kurangnya penglibatan murid-murid sekolah rendah sehingga kurangnya penghasilan pelapis-pelapis muda dalam sukan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap akademi itu akan terus memainkan peranan sehingga ke peringkat pelajar sekolah menengah dan belia di sekitar Sarawak bagi melahir lebih ramai pelapis atlet bola tampar ‘The Thinking Athlete’ di negeri ini. 

Justeru katanya, program ini akan menjadi harapan mahasiswa dan mahasiswi untuk lebih mengenali komuniti luar di semua peringkat umur melalui kaedah pemindahan pengetahuan, berkomunikasi antara satu sama lain serta mengukuh jalinan kerjasama dalam pasukan.

Pada masa sama katanya, institusi sukan negara kekurangan pelapis muda dalam sukan bola tampar kerana kurangnya pendedahan serta pengetahuan asas tentang sukan tersebut.

Katanya, ramai golongan muda juga kurang mahir serta tidak berminat untuk menyertai sukan ini. 

Disebabkan itu katanya, kesedaran masyarakat amat penting untuk memupuk atau melahirkan generasi baru yang mahir dan produktif agar sukan ini tidak lapuk ditelan zaman. 

"Kita berharap program ini akan membantu institusi sukan negara melalui bengkel sukan dan program yang berkenaan dengan sukan terbabit," katanya.

Advertisement