Anda di sini

Pewartaan warisan negara buka jalan promosi jeruk tuhau ke seluruh dunia

Advertisement
Peniaga Anis Haris menunjukkan jeruk Tuhau yang dijualnya di Pasar Tani Donggongon hari ini. - Gambar BERNAMA
Peniaga Anis Haris menunjukkan jeruk Tuhau yang dijualnya di Pasar Tani Donggongon hari ini. - Gambar BERNAMA

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU: Pengusaha jeruk tuhau di negeri ini berharap pewartaan makanan tradisi itu sebagai warisan negara baru-baru ini mampu membuka jalan untuk mempromosi makanan itu ke seluruh dunia terutama melalui media sosial.

Pengerusi Pergerakan Wanita Pekebun Kecil Kampung Randagong di Ranau, Jamelah Lawa, 52, berkata hal itu suatu kebanggaan yang diraikan pengusaha jeruk tuhau sepertinya, serta berharap pewartaan tersebut membolehkan jeruk tuhau lebih dikenali terutama dalam kalangan generasi muda.

“Saya hasilkan jeruk tuhau sejak 2013 dengan jenama ‘Wanira’. Saya amat harap pengiktirafan itu juga menjadi titik penting kepada pengusaha jeruk tuhau yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan supaya kami dapat berkembang antaranya dengan bantuan media sosial.

"Jualan saya menggunakan aplikasi Whatsapp, hantar gambar jeruk tuhau kepada pelanggan yang menempah agar mudah membuat pilihan. Pelanggan juga boleh dapatkan jeruk tuhau saya di gerai Kampung Simpangan Randagong Lama dan pasar tamu di Pekan Ranau," katanya kepada BERNAMA.

Jamelah berkata tuhau juga boleh diolah menjadi pelbagai variasi dan dijual dengan harga berbeza seperti jeruk tuhau 950 gram (g) pada harga RM20, sambal tuhau 200g (RM25) dan serunding tuhau 200g (RM25).

Sabtu lepas, media melaporkan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Mohamad Muda Bahadin sebagai berkata 10 jenis makanan termasuk jeruk tuhau diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa yang diberikan kepadanya oleh Subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Makanan pembuka selera tradisional daripada etnik Kadazandusun itu diperbuat daripada tuhau iaitu sejenis halia liar yang dicincang, sebelum dicampur dengan bahan lain antaranya cili padi, limau kasturi dan bawang putih dan disimpan di dalam bekas kedap udara untuk dijadikan jeruk.

Eriy Dusun, 45, yang menjalankan perniagaan jeruk tuhau dengan jenama ‘Que Yun’ di Pekan Tamparuli sejak lapan tahun lalu juga berpendapat pengiktirafan itu memudahkan usaha promosi dijalankan di media sosial serta hebahan menerusi radio dan televisyen.

Teruja dengan pengiktirafan itu, Eriy berkata usaha berkenaan akan memberi ruang kepada pengusaha untuk mempelbagaikan produk berasaskan tuhau, malah mempopularkan makanan tradisi itu sebagai cenderamata di majlis keramaian.

“Selain itu juga saya harap dengan pengiktirafan ini jeruk tuhau boleh dijadikan sebagai menu di kafe terutama di lapangan terbang, hidangan dalam penerbangan, resort, hotel mahupun restoran bertaraf lima bintang dan menjalankan jelajah memperkenalkan tuhau di seluruh negara,” katanya.

Katanya produk jeruk tuhau keluaran jenamanya itu juga dipromosikan melalui aplikasi WhatsApp, Facebook, Shopee dan Tik Tok selain di beberapa pasar raya serta Kedai Mesra Petronas dan dijual dengan harga RM35 sebotol, manakala variasi sambal tuhau (RM15) dan sos tuhau (RM10).

Bagi Anddrey Andy Jude, 33, yang telah berkecimpung dalam penghasilan jeruk tuhau selama 12 tahun berkata sudah tiba masanya untuk hidangan warisan itu diperkenalkan kepada dunia luar sekali gus mampu membantu peniaga kecil di negeri ini.

Beliau berkata selain menggunakan media sosial, aktiviti mempromosikan jeruk tuhau juga boleh  dilakukan melalui wakil negeri mahupun negara, yang terlibat dalam pertandingan masakan di peringkat antarabangsa.

Katanya dengan cara itu secara tidak langsung akan membantu menambah permintaan untuk para peniaga kecil-kecilan sepertinya yang meletakkan jeruk tuhau di kedai sekitar Kota Kinabalu dan Penampang dengan harga antara RM12 hingga RM25 sebotol. 

"Lagi senang kalau dapat dibungkus dengan bungkusan yang mesra pelanggan supaya senang dibawa ke mana-mana dan diolah ke beberapa jenis supaya pelancong dapat merasa kepelbagaian rasa dari jeruk tuhau," katanya. - BERNAMA

Advertisement